Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang menyasarkan RM675.37 juta daripada hasil tanah dalam memastikan sasaran kutipan hasil 2023 dapat dicapai.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata hasil tanah merupakan strategi baharu yang menjadi fokus utama Kerajaan Pahang.
“Selaku negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, fokus utama kutipan hasil Kerajaan Negeri sudah semestinya kepada hasil tanah yang dianggarkan kira-kira RM675.37 juta.
“Jumlah sasaran ini adalah peningkatan sebanyak RM31.66 juta atau 4.91 peratus berbanding sasaran pada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Perhutanan akan terus menjadi antara penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri dengan jangkaan sumbangan hasil sebanyak RM137.55 juta.
“Dari Januari sehingga 6 Oktober 2022, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah mencatat Pungutan Hasil Kutipan Cukai sebanyak RM105.49 juta bersamaan 69.98 peratus.
“Jabatan Perhutanan akan terus menjadi antara penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri dengan jangkaan sumbangan hasil sebanyak RM137.55 juta bagi tahun 2023 melalui kutipan bayaran premium, royalti dan caj-caj lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA