Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang sasar kutipan hasil sebanyak RM1.083 bilion bagi tahun hadapan dengan peningkatan sebanyak 4.25 peratus berbanding Belanjawan Tahun 2022.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata unjuran hasil ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah Negeri Pahang.
“Daripada jumlah ini, RM1.071 bilion akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, Perbelanjaan Lain dan Aset, dengan peningkatan sebanyak RM40 juta atau 3.73 peratus berbanding tahun 2022.
“Manakala bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan yang akan disediakan adalah sebanyak RM318.83 juta.
“Jumlah ini merangkumi projek infrastruktur sebanyak RM143.53 juta dengan pembiayaan secara langsung. Manakala RM175.30 juta atau bersamaan 54.98 peratus adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air,” katanya.
Beliau berkata demikiian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau lagi, terdapat lima strategi yang digariskan dalam Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2023.
“Pertama, Merangsang Kemajuan Ekonomi; Kedua, Memperkukuh Tadbir Urus; Ketiga, Membangun Infrastruktur Yang Mampan; Keempat Menjamin Kesejahteraan Rakyat; dan Kelima Membina Generasi Masa Depan Yang Gemilang,” katanya. – PAHANGMEDIA