Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.037 bilion setakat hari ini berbanding sasaran ditetapkan iaitu RM1.036 bilion.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bermakna Kerajaan Pahang telah mencapai lebih 100 peratus sasaran lebih awal dari jangkaan ditetapkan.
“Setakat 7 Oktober 2022, iaitu hari ini, sukacita saya memaklumkan bahawa, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM 1.037 bilion, berbanding sasaran yang ditetapkan, iaitu RM1.036 bilion. Ini bermakna, kita telah berjaya mencapai melebihi 100 peratus sasaran, lebih awal daripada yang ditetapkan.
“Ini adalah suatu pencapaian yang sangat membanggakan. Buat julung kalinya Pahang berjaya mencapai hasil mencecah RM1 bilion, sekali gus meletakkan kita “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan negeri-negeri maju yang lain seperti Johor dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah mengumpulkan pelaburan domestik dan pelaburan asing sebanyak RM20.56 bilion setakat 30 September lepas melebihi sasaran RM18 bilion.
“Pada tahun ini, sehingga 30 September, Negeri Pahang telah mengumpulkan pelaburan berjumlah RM20.56 bilion. Pelaburan tersebut yang melibatkan RM9.55 bilion pelaburan domestik dan RM11.01 bilion pelaburan asing, telah melangkaui sasaran RM18 bilion yang kita sasarkan.
“Statistik ini adalah petunjuk jelas keyakinan para pelabur terhadap potensi serta kestabilan yang ada di Negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau Kerajaan Negeri juga telah berjaya mengurangkan 71.24 peratus hutang dalam tempoh empat tahun ini.
“Pengurangan hutang Kerajaan Negeri daripada RM3.31 bilion kepada RM 952.21 juta. Ini bermakna secara purata, kita berjaya mengurangkan kira-kira 17.80 peratus hutang negeri setiap tahun.
“Jika trend ini berjaya diteruskan dengan momentum serta kesungguhan yang dipamerkan semua pihak, tidak mustahil dalam tempoh satu penggal lagi, Pahang akan berjaya mengurangkan lagi hutang negeri,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan dan program kebajikan kepada rakyat sebanyak RM77.95 juta seiring peningkatan hasil.
“Seiring peningkatan hasil, pelbagai bantuan dan insentif kebajikan telah disalurkan kepada rakyat Pahang melibatkan jumlah keseluruhan RM77.95 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang, Program Kebanggaan Pahang, Program Pemerkasaan Wanita dan warga emas.
“Menariknya, bantuan ini disalurkan terus kepada rakyat dan merentasi segenap generasi, daripada bayi yang baru lahir, pelajar, anak muda, pengantin baru sehinggalah kepada warga emas, tapa mengira batas bangsa, agama mahupun ideologi politik,” katanya. – PAHANGMEDIA