YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail selepas pembentangan Belanjawan Pahang Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

BELANJAWAN PAHANG : PAHANG JAMIN PEMBANGUNAN ORANG ASLI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi 

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Pembangunan dan kemajuan masyarakat Orang Asli di negeri ini terus dijaga melalui peruntukan yang disediakan bagi tahun 2023.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan turut disediakan melalui penyediaan sebanyak 100 buah unit Rumah Rakyat Pahang secara percuma khusus kepada penduduk orang asli dengan belanja sebanyak RM7.5 juta.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi membaik pulih rumah-rumah orang asli yang layak.

“Seterusnya, sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan projek pembekalan air ke 33 buah kampung orang asli yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,300 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Program PEDULI Orang Asli akan diperkenalkan pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM200,000 sambil mensasarkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar orang asli dibantu menyambung pengajian ke peringkat universiti.

“Sentuhan ini katanya akan dijayakan melalui projek Kampung Angkat Orang Asli di beberapa kampung terpilih seperti Chemperoh Janda Baik, Pos Betau Lipis, Kampung Satak Raub, dan Paya Sendayan Temerloh.

“Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM200,000 bagi melaksanakan program kebersihan di pusat-pusat pelancongan di kampung orang asli” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi menaik taraf dan memperindah kampung-kampung, sejumlah RM1.21 juta akan disalurkan bagi melaksanakan Program Keceriaan Kampung yang melibatkan sepuluh buah kampung tradisi dan satu buah kampung orang asli di 11 buah daerah seluruh Pahang.

“Selain itu, kemudahan persekitaran kampung orang asli dan yang berhampiran dengannya akan turut dinaiktaraf, antaranya menaiktaraf Hentian Rehat dan Rawat Pos Betau dengan mewujudkan sistem pengairan yang baik, infrastruktur yang lengkap serta kemudahan awam yang kondusif, melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.

“Atas keprihatinan Kerajaan Negeri juga, insentif Perkahwinan Pertama akan diluaskan juga kepada golongan orang asli di mana setiap pasangan pengantin baharu akan menerima sagu hati sebanyak RM300,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram