YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Exco Kerajaan Pahang pada sesi pembentangan Belanjawan Pahang Tahun 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

BELANJAWAN PAHANG : SUMBANGAN WANITA TERUS DIHARGAI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Sumbangan yang diberikan golongan wanita di negeri ini kekal dihargai melalui peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pelaksanaan Dasar Wanita dan Pelan Tindakan Wanita Negeri Pahang bagi tahun 2022 hingga 2026.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri terus komited melaksanakan program khusus untuk wanita Pahang yang akan dilaksanakan melalui Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pahang.

“Pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dan terkini, Program Pembangunan Keluarga akan diperkenalkan pada tahun hadapan melibatkan 2,000 ibu bapa dengan kos RM200 ribu sebagai penyediaan sokongan bagi mengurus emosi secara efektif.

“Selain itu, jawatan Kaunselor atau Pegawai Psikologi dan Pembantu Tadbir bakal diwujudkan di Pusat Wanita Pahang yang melibatkan kos sebanyak RM83,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Pahang Tahun 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu beliau turut mengambil kira pandangan seorang remaja yang membangkitkan isu kemiskinan haid remaja wanita dari golongan B40 pada Townhall Bajet Anak Muda baru-baru ini melalui  peruntukan sebanyak RM500,000 yang akan diuruskan oleh Majlis Pembangunan Wanita Pahang.

Dalam pada itu, Program Anggun Niaga yang dimulakan pada tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan dinaikkan kepada RM750,000 untuk manfaat 700 orang ibu tunggal di seluruh negeri dengan modal perniagaan sebanyak RM1,000.

“Selain menawarkan bantuan kewangan, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pusat Pengembangan Keusahawanan Wanita Pahang di empat buah daerah terpilih iaitu Kuantan, Maran, Temerloh dan Lipis dengan peruntukan RM1 juta.

“Program Cakna Suri Tambahan dan Saringan HPV DNA juga akan diteruskan pada tahun hadapan dengan perkhidmatan ujian mamogram percuma diberikan kepada 6,000 orang wanita dari dalam kelompok B40 dan M40,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram