YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi ucapan Belanjawan Pahang Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

BELANJAWAN PAHANG : RUMAH MESRA PAHANG SEDIA 20 PERATUS DISKAUN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Rakyat di negeri ini terus diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri dan kali ini Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Rumah Mesra Pahang (RMP) yang bakal dibina sebanyak 500 buah unit pada tahun hadapan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek Rumah Mesra Pahang ini diilhamkan daripada konsep Rumah Mesra Rakyat dan ia menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus.

“Rumah Mesra Pahang (RMP) ini bernilai RM75,000 sebuah dan projek sulung pembinaan 500 buah unit rumah berkenaan akan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.5 juta.

“Selain Rumah Mesra Pahang, kenaikan harga bahan binaan tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk meneruskan projek Rumah Makmur Pahang yang masih kekal pada kadar RM80,000 dan juga rumah PR1MA Pahang pada harga RM150,000 seunit yang bakal dibina 1,000 unit pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Pahang Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pelaksanaan Projek Rumah Rakyat Pahang atau RRP yang diberi percuma akan diteruskan khusus buat kelompok yang tidak mampu membeli rumah kerana pendapatan yang kecil atau tergolong dalam kategori miskin serta tidak layak membuat pinjaman perumahan.

“Pada tahun hadapan Kerajaan Negeri akan menambah jumlah tersebut kepada lapan unit berbanding enam unit pada tahun ini untuk setiap Dewan Negeri dan satu unit di setiap Parlimen dengan melibatkan kos sebanyak RM30.75 juta.

“Menariknya, Kerajaan Negeri turut berbesar hati untuk meneruskan penyediaan barangan keperluan untuk rumah-rumah ini dengan peruntukan sebanyak RM2 ribu bagi setiap rumah dengan nilai keseluruhan RM700,000.” katanya.

Selain itu katanya, Projek Skim Tanah Warisan (STW) bakal diteruskan pada tahun hadapan selain Kerajaan Negeri bersetuju mengambil alih usaha membaik pulih sepuluh tapak projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai daripada pihak FELDA.

“Pengambilalihan ini melibatkan usaha sama pemaju swasta dengan LPHP yang melibatkan sebanyak 1,850 unit rumah dengan harga RM125,000 seunit.

“Projek ini akan dijenamakan semula kepada skim Rumah Pahang dan Pemilihan pembeli yang layak akan diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang melalui sistem e-Perumahan. Keutamaan akan diberi kepada generasi kedua FELDA dan seterusnya mereka yang menetap dan bekerja di Negeri Pahang dalam gugusan rancangan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata bagi memastikan para penghuni Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) terus terbela, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM3.17 juta pada tahun 2023 bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan untuk semua PAKR di seluruh negeri.

“Selain mengusahakan pemilikan rumah kepada mereka yang tidak berkemampuan, Kerajaan Negeri juga tidak sesekali melupakan mereka yang sudah memiliki rumah namun memerlukan bantuan baik pulih.

“Oleh itu, skim bantuan baik pulih rumah di bawah Peruntukan Pembangunan melalui Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang akan diteruskan pada tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM6.3 juta bagi kerja-kerja membaik pulih sepuluh unit rumah yang daif di setiap Dewan Negeri di seluruh negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram