Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menekankan aspek pembangunan yang mampan iaitu dengan memenuhi keperluan asas penduduk dari semasa ke semasa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membawa kepada empat inisiatif utama yang terkandung dalam strategi belanjawan ketiga iaitu pembangunan infrastruktur yang mampan.
“Pertama ialah memenuhi keperluan bekalan air di mana bagi tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025, sejumlah RM2.3 bilion diperlukan bagi menyelesaikan kekurangan rizab margin di Loji Rawatan Air (LRA), kekerapan paip pecah, kadar kehilangan air (NRW) yang tinggi dan mengatasi masalah di lokasi-lokasi hotspot di seluruh negeri.
“Bagi tahun 2023 juga, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM322 juta bagi pembiayaan 14 projek perkhidmatan bekalan air. Keseluruhan inisiatif dan projek-projek utama adalah antara langkah proaktif dan progresif Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan air bersih tidak lagi menjadi isu kepada rakyat dan apa yang boleh saya tegaskan, ini hanyalah permulaan. Kita akan terus mencari inisiatif serta cara baharu dari masa ke semasa untuk menambah baik kemudahan dan sistem yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif kedua pula adalah berkenaan pembangunan luar bandar yang mempunyai peranan, potensi dan sumbangan tersendiri dalam membina kemajuan negeri ini.
“Untuk rekod pada tahun 2022 sahaja, Kerajaan Negeri telah menerima 114 buah projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM 411.2 juta.
“Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan 56 projek jalan luar bandar kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2.174 bilion. Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengemukakan permohonan sebanyak 1.3 bilion ringgit merangkumi projek-projek jambatan luar bandar, Program Pemajuan Kawasan (PPK) dan Bekalan Air Luar Bandar yang akan menjadi agenda luar bandar Pahang jika ia diluluskan nanti,” katanya.
Inisiatif ketiga pula katanya berkenaan usaha menaiktaraf jalan antaranya permohonan peruntukan bagi membina baharu jaringan jalan raya dan lebuh raya yang menghubungkan semua pintu masuk utama negeri lain yang bersempadanan.
“Permohonan peruntukan di bawah RMK-12 yang dibuat pada tahun ini adalah berjumlah 7.8 bilion ringgit yang merangkumi antaranya projek di bawah MARRIS, cadangan projek Benta Link, dan One Way Loop di Kea Farm, Cameron Highlands.
“Bagi kerja-kerja menaiktaraf jalan raya pula, sebanyak 137 cadangan projek jalan telah dipohon kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Rolling Plan 3 (RP3) dengan anggaran peruntukan sebanyak 35.69 juta ringgit dan sebanyak 77 cadangan projek jalan telah dipohon kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam Rolling Plan 3 (RP3) dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2.54 bilion,” katanya.
Sementara itu katanya inisiatif keempat ialah menaik taraf kemudahan pengairan dan saliran termasuk peruntukan RM2 bilion dari Kerajaan Persekutuan bagi perlaksanaan sepuluh buah projek tebatan banjir di seluruh negeri ini secara berperingkat antranya di Rancangan Tebatan Banjir Daerah Lipis, Bentong dan Temerloh.
“Bagi tujuan menaik taraf kemudahan pengairan dan saliran, Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan pembangunan sebanyak RM15.62 juta merangkumi pelaksanaan projek tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai dan projek pasca banjir.
“Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM8.4 juta bagi pembangunan projek pemuliharaan koridor sungai dan menaik taraf sistem saliran selain projek pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur longkang dan kolam takungan akan dipergiat dengan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi mengatasi isu banjir kilat yang sering berlaku di taman-taman perumahan,” katanya.
Akhir sekali katanya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta bagi pembangunan dan menaik taraf stesen-stesen pemantauan hujan dan paras air di sekitar negeri Pahang. – PAHANGMEDIA