Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang berkenaan jumlah peruntukan yang diberi mengikut sukan dan daerah untuk menganjurkan Kejohanan MSSD dan MSSP dari tahun 2019 sehingga 2022 semasa sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM1.18 JUTA BAGI SUKAN MSSD & MSSP

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1.18 juta bagi pengajuran sukan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata ini melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, dan yuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi setiap daerah di negeri ini.

“Jumlah peruntukan keseluruhan bagi sukan dan daerah sempena penganjuran kejohanan MSSD dan MSSP bagi setiap tahun yang dinyatakan adalah adalah berjumlah RM1,182,276.

“Agihan peruntukan kecil kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah Pahang pada 2019 adaah sebanyak RM492,900; bagi tahun 2020 adalah RM469,376; tahun 2021 adalah RM220,000; dan bagi tahun 2022 adalah RM256,542.25.

“Bagi tahun 2021, sebanyak RM58,600 disalurkan melibatkan 24 jenis sukan dibawah MSSP; dan bagi tahun ini sebanyak RM207,335 disalurkan bagi 24 acara sukan dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang berkenaan jumlah peruntukan yang diberi mengikut sukan dan daerah untuk menganjurkan Kejohanan MSSD dan MSSP dari tahun 2019 sehingga 2022 semasa sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang juga telah membelanjakan RM207,335 kepada mereka yang mewakili daerah bagi MSSP tahun 2022.

“Semua pengurus pasukan, jurulatih dan pemain-pemain yang mewakili daerah diberikan kemudahan kewangan serta elaun berdasarkan kelayakan mengikut peraturan kewangan semasa. Sebagai contoh, sehingga kini, pada tahun 2022, sebanyak RM207,335 telah dibelanjakan bagi telah diagihkan kepada individu-individu yang terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram