Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Program Anggun Niaga yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2022 berjaya mencatat penglibatan 280 orang ibu tunggal pada tahun ini.
Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, program ini merupakan bantuan khas yang diberikan kepada usahawan kecil bergelar ibu tunggal di negeri ini.
“Semua peserta diberi bantuan kewangan sebanyak RM1000 setiap seorang bagi menambah baik keperluan perniagaan mereka.
“Mereka juga menerima latihan yang diperlukan dan dibimbing sehingga berjaya. Setakat ini 100 orang daripada 280 orang ibu tunggal telah pun menerima bantuan khas ini pada 27 Ogos lalu manakala 180 orang lagi menerima bantuan bermula akhir bulan lalu secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB Datin Samsiah Arshad berkenaan Program Anggun Niaga Pahang melibatkan ibu tunggal di Negeri Pahang pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA