Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 OKTOBER 2022 : Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) memberi peluang kepada mereka yang ingin menyambung pengajian menggunakan pengalaman kerja di universiti berkenaan bermula sesi pengajian tahun hadapan.
Naib Censelor UniPSAS, YH. Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata UnIPSAS mengambil inisiatif ini bagi menyediakan peluang pendidikan kepada semua kelompok masyarakat.
“Pengajian berdasarkan kepada pengalaman ini dimana kita beri peluang kepada orang yang tiada kelayakan atau mereka di pondok-pondok yang ada ilmu tapi tak ada sijil.
“Jadi insyaAllah tahun hadapan kita akan mula buka untuk mereka ini menyambung pelajaran di UnIPSAS sama ada dalam bidang diploma atau ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana, dan mungkin Ijazah Doktor Kehormat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Istiadat Konvokesyen Ke-19 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini.
Beliau berkata pihak UnIPSAS juga telah telah mendapat kelulusan serta panduan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi menjalankan usaha ini.
“Kita juga menawarkan ODL (Program Secara Pembelajaran Terbuka Dan Jarak Jauh), belajar di luar kampus, dan APEL iaitu pengajian berdasarkan kepada pengalaman kerja tapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian.
“Kita akan melihat umur dan pengalaman di tempat kerja untuk kita tawarkan bidang pengajian yang sesuai untuk mereka belajar,”katanya.
Istiadat Konvokesyen Ke-19 UnIPSAS ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan Canselor UniPSAS.
Baginda yang merupakan Canselor UniPSAS berangkat tiba pada 10 pagi dengan diiringi Pro-Canselor II UniPSAS, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut menyambut keberangkatan baginda, YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pro-Canselor I UniPSAS, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang juga Pengerusi Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd., Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Naib Censelor UniPSAS, YH. Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin; dan barisan exco Kerajaan Pahang.
Seramai 1,153 orang graduan daripada tiga sesi pengajian iaitu 2019, 2020, dan 2021 diraikan dalam istiadat konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok. – PAHANGMEDIA