Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-19 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini

PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN SEMPURNAKAN ISTIADAT KONVOKESYEN UNIPSAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 06 OKTOBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-19 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini.

Baginda yang merupakan Canselor UniPSAS berangkat tiba pada 10 pagi dengan diiringi Pro-Canselor II UniPSAS, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut menyambut keberangkatan baginda, YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pro-Canselor I UniPSAS, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang juga Pengerusi Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd., Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Naib Censelor UniPSAS, YH. Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin; dan barisan exco Kerajaan Pahang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-19 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hari ini.

Baginda dalam istiadat berkenaan turut berkenan mengurniakan Anugerah Ijazah Doktor Kehormat Dalam Kepimpinan dan Pembangunan Pendidikan Islam kepada Mantan Menteri Besar Pahang, YB. Dato’ Sri Diraja Tan Sri Haji Adnan Haji Yaakob.

Anugerah ljazah Doktor Kehormat ini dikurniakan kepada beliau atas kelayakan dan mutu kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang menerajui pucuk kepimpinan Negeri Pahang serta usaha dan komitmen yang tinggi dalam memastikan pembangunan Pendidikan Islam di UnIPSAS khususnya dan di negeri ini amnya.

Baginda kemudiannya turut berkenan mengurniakan ijazah sarjana, ijazah sarjana muda, dan diploma kepada para graduan hari ini.

Istiadat konvokesyen mencatat sejarah tersendiri kerana ia julung kali diadakan selepas UnlPSAS diperakukan sebagai sebuah universiti penuh pada 1 Disember 2021 dan dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 25 Julai lepas.

Seramai 1,153 orang graduan daripada tiga sesi pengajian iaitu 2019, 2020, dan 2021 diraikan dalam istiadat konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram