Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika bersama penerima bakul makanan masyarakat Orang Asli

MASYARAKAT ORANG ASLI PAHANG HARGAI INGATAN KERAJAAN NEGERI

PEKAN, 27 SEPTEMBER 2022 : Keprihatinan Kerajaan Pahang menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli (OA) di seluruh negeri ini amat dihargai malah menjadi ingatan yang mengharukan.

Batin Kampung Jambu dan Sena, Encik Salim Jusoh berkata, dia dan seluruh masyarakat di tempatnya menghargai usaha YAB Menteri Besar Pahang serta seluruh pentadbiran negeri yang tidak pernah meminggirkan orang asli.

“Saya mewakili masyarakat orang asli berterima kasih atas semua sumbangan termasuk bakul makanan sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2022.

Batin Kampung Jambu dan Sena, Encik Salim Jusoh

“Terima kasih Menteri Besar kerana bagi bantuan kepada kami, sikit-sikit boleh bantu kami menampung kehidupan harian,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.

Beliau merupakan antara 500 orang penerima Ketua Isi Rumah (KIR) Oranf Asli di daerah Pekan yang menerima bantuan bakul makanan yang disampaikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Turut sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Pekan, Tuan Haji Mohd Tahar Ismail.

Penyampaian bakul makanan dilakukan di Runchang, Kampung Sawah Batu, Kampung Permatang siput dan Permatang Keledang.

Suraya Nong, 65, dari Kampung Permatang Siput

Dalam pada itu seorang lagi penduduk, Suraya Nong, 65, dari Kampung Permatang Siput turut menyampaikan rasa terima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri yang prihatin pada mereka.

“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang tidak lupa kepada kami.

“Bantuan ini sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada kami dan amat dihargai,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, usaha ini adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap Orang Asli yang tetap setia dan terus bersama-sama Kerajaan Pahang dalam apa jua keadaan.

“Sebanyak RM1.6 Juta diperuntukkan untuk Program Bakul Makanan ini melibatkan sebanyak 25,000 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di seluruh Pahang.

“Semua usaha ini sedang dilaksanakan berperingkat malah bukan hanya bakul makanan, Kerajaan Pahang juga menubuhkan Orang Asli Corporation (ORACO) yang bertindak sebagai Pusat Sehenti ‘One Stop Centre’ untuk merancang, mengurus dan memantau segala aktiviti ekonomi yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat OA di seluruh negeri ini,” katanya.

Katanya lagi, infrastruktur dan fasiliti perkampungan orang asli turut diberi perhatian seperti pembinaan jalan baharu, bekalan air bersih, elektrik, hal pendidikan anak-anak malah telekomunikasi dan internet juga menjadi perhatian Kerajaan Pahang.

“Terdapat lebih kurang 261 kampung Orang Asli di seluruh negeri ini diberi perhatian kerajaan Pahang bersama SKMM melalui pelbagai projek di bawah Pelan Jendela Fasa Satu dimana 22 KOA akan menerima menara baharu dan 69 kampung akan memperoleh kemudahan internet jalur lebar satelit akses tanpa wayar (BWA). Semua usaha ini sedang dilaksanakan malah ada yang telah siap sepenuhnya.

“Jelas sekali Kerajaan Pahang tidak pernah pinggir dan lupakan masyarakat OA malah sentiasa mengambil berat dan berusaha sebaik mungkin memastikan OA turut menikmati keselesaan dan kemajuan serta pembangunan demi kehidupan yang lebih baik di negeri Pahang bertuah ini,” katanya – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram