KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2022 : Jurulatih skuad bola jaring Pahang, Hapizah Jaafar berbangga dengan prestasi anak buahnya walaupun hanya mampu meraih pingat perak selepas tewas kepada Wilayah Persekutuan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.
Dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini itu, skuad Pahang tewas 53-61 dengan juara bertahan itu.
Katanya, beliau sangat bangga dengan semangat juang anak buahnya walaupun ramai yang mengetahui bahawa Wilayah Persekutuan juara bertahan sukan ini sejak sekian lama.

“Alhamdulillah walaupun kita kalah, tetapi kita kalah dalam perjuangan. Memang sasaran kita final, namun ini adalah pencapaian yang membanggakan kami semua.
“Pada SUKMA 2018 kita kalah di peringkat kumpulan. Kita akan kekalkan prestasi ini untuk menggenggam pingat emas pada SUKMA 2024 nanti,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.
Dalam perlawanan itu, skuad Pahang tetap memberikan saingan hebat apabila beberapa kali dilihat cuba merapakan jurang mata terutamanya ketika aksi suku ketiga.
Untuk rekod, pingat gangsa menjadi milik Selangor selepas menewaskan Johor 47-45 dalam perlawanan tempat ketiga dan keempat. – PAHANGMEDIA