KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2022 : Penantian hampir 26 tahun skuad hoki lelaki Pahang untuk meraih emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir apabila menumpaskan Johor 1-0 dalam perlawanan final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini malam tadi.
Gol tunggal perlawanan menerusi Muhammad Idris Samad pada minit akhir permainan memastikan emas menjadi milik Pahang sekali gus meranapkan impian Johor bagi bergelar juara.

Kemenangan itu menyaksikan skuad lelaki Pahang menamatkan kemarau 26 tahun untuk meraih emas selepas kali terakhir memenanginya ketika negeri itu menjadi tuan rumah pada edisi 1996.
Jurulatih Pahang Mohd Sufian Mohamad berkata, kemenangan ini didedikasikan buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada skuad hoki negeri itu.
“KDYMM Yang di-Pertuan Agong telah mengilhamkan dan menubuhkan Akademi Hoki Pahang bermula 2013 dan Tuanku menyasarkan kita merangkul pingat emas di semua peringkat umur termasuk di SUKMA.
“Ini pencapaian terbaik bagi negeri Pahang dan mereka sudah membesar (berlatih) dengan saya 10 tahun bersama dan alhamdullilah, saya dapat kekalkan pemain dengan bantuan Majlis Sukan Pahang (MSP) yang ambil mereka, beri pendedahan pada peringkat tertinggi,” katanya di sini semalam.
Jelasnya lagi, pada SUKMA 2018 di Perak, Pahang sekadar naib johan selepas tewas di tangan Sabah menerusi penalti shoot-out.

“Empat tahun lalu kami kecewa apabila tewas dalam penentuan penalti, jadi saya beritahu pemain untuk malam ini, saya mahu pemain habiskan permainan dalam tempoh 60 minit.
“Apa pun ini pencapaian terbaik kami dalam Sukma dan saya amat berbangga dengan semua pemain saya yang telah pun bersama saya sejak mereka berumur 10 tahun lagi,” jelas Suffian.
Lebih manis, skuad hoki wanita Pahang juga turut bergelar juara setelah menumpaskan Selangor 2-1, sementara Wilayah Persekutuan yang menumpaskan Pulau Pinang 4-1 meraih pingat gangsa. – PAHANGMEDIA