KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER 2022 : Walaupun Selangor berjaya menjaringkan gol penyamaan pada tujuh minit sebelum tamat perlawanan namun ia tidak mematahkan semangat skuad hoki wanita Pahang untuk terus berjuang sehingga berjaya memenangi emas.
Dalam perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu, skuad hoki wanita Pahang mencatatkan catatan sejarah apabila muncul pemenang pingat emas selepas menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi final kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
Pahang mendapatkan gol menerusi jaringan padang oleh Nur Atiqah Najwa Sutimi pada minit ke-25 dan Wan Norfatihah Md Saiuti pada minit ke-60.
Gol tunggal Selangor pula menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Nur Idrina Asnida Mohd Yusmi pada minit ke-53.

Sementara itu Jurulatih Hoki Wanita Pahang, Mohamad Sabri Mohamad berkata, walaupun diberi tekanan oleh Selangor selepas berjaya menyamakan kedudukan, Pahang tidak mengangkat bendera putih terlalu awal, sebaliknya terus menyerang ke kubu lawan untuk memburu jaringan.
“Saya lihat anak buah tidak berputus asa dan mengambil peluang daripada itu, pemain terus membuat serangan dan berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.
Katanya, pasukan Pahang memang menyasarkan pingat emas pada SUKMA kali ini dan ia berjaya hasil semangat kerjasama semua pemain dalam pasukan. – PAHANGMEDIA