Temerloh Avenue ya g terdapat di Majlis Bandaraya Wagga Wagga di Australia

JALAN WAGGA WAGGA DI TEMERLOH SEBAGAI TANDA BALAS KEPADA BANDAR WAGGA WAGGA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang menamakan salah satu jalan utama di Bandar Temerloh sebagai Wagga Wagga sebagai tanda balas kepada Majlis Bandaraya Wagga Wagga di Australia yang menamakan salah satu jalannya sebagai Temerloh Avenue.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata ia juga adalah sebagai tanda mengukuhkan hubungan bersama bandar Wagga Wagga setelah lebih 58 tahun menjalinkan persahabatan.

“Kami amat bangga kerana Majlis Bandaraya Wagga Wagga telah memberi penghormatan kepada Temerloh dengan menamakan salah satu jalannya sebagai Temerloh Avenue.

“Hari ini, sebagai balasan, kami juga secara rasmi menamakan salah satu jalan utama di Bandar Temerloh sebagai Wagga Wagga.

“Kami berharap ini dapat mewujudkan kesedaran yang lebih besar dalam kalangan penduduk Temerloh, khususnya dan Pahang amnya tentang Wagga Wagga dan kepentingan hubungan antara kedua-dua bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika sesi pertemuan bersama Wagga Wagga City Council di Wagga Wagga hari ini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Beliau berkata hubungan diantara Temerloh dan Wagga Wagga telah terjalin melalui pembentukan Wagga Wagga – Temerloh Good Neighbour Association dan kemudiannya daerah ini telah diterima sebagai bandar bersaudara kepada Wagga Wagga.

“Kami datang ke sini hari ini ke Wagga Wagga untuk menjalinkan semula hubungan panjang antara pekan Wagga Wagga dan pekan Temerloh di negeri Pahang.

“Telah lebih 58 tahun sejak 1965 apabila orang terdahulu menjalinkan persahabatan antara kedua-dua bandar melalui pembentukan Wagga Wagga – Temerloh Good Neighbour Association dan kemudiannya Temerloh diterima sebagai bandar bersaudara Wagga Wagga.

“Kami sentiasa berterima kasih di atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan kepada penduduk Temerloh oleh penduduk Wagga Wagga pada zaman negara kami masih sangat muda,” katanya.

Tambah beliau, banyak bantuan dari pelbagai segi telah dihulurkan oleh warga Wagga Wagga kepada Temerloh pada waktu itu amatlah dihargai.

“Kami masih dalam proses untuk membina negara ketika itu dan bantuan yang dihulurkan oleh penduduk Wagga Wagga dalam penjagaan kesihatan, kewangan dan sokongan pendidikan kepada pelajar kami telah banyak menyumbang kepada kehidupan Temerloh seperti hari ini.

“Sumbangan Land Rover dan set diagnostik perubatan kepada Klinik Kesihatan Bayi Temerloh sememangnya hadiah yang amat dihargai oleh warga Temerloh.

“Kami berharap hubungan antara Wagga Wagga dan Temerloh akan terus berkembang dan mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara penduduk kedua-dua bandar,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram