KUALA LUMPUR, 22 SEPTEMBER 2022 : Pahang berjaya mengutip dua lagi emas hari ini menerusi sukan menembak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Lapang Sasar Subang di sini.
Pingat itu diraih pasukan menembak Pahang dalam acara 10 meter (m) air pistol berpasukan lelaki hasil gandingan Mohammad Adib Abu Hassan Ashairi, Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza dan Cheah Zen Hong.

Satu lagi pingat emas diraihkan menerusi acara 10m air pistol lelaki yang dimenangi oleh Cheah Zen Hong.
Kontinjen Pahang juga berjaya memperoleh tiga pingat perak hari ini menerusi sukan memanah dan pencak silat selain meraih tiga pingat gangsa menerusi sukan pencak silat, tinju dan memanah.
Sehingga kini, Pahang berjaya meraih 15 pingat emas, 13 perak dan 15 pingat gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 43 pingat telah dikumpul.
Kontinjen Pahang menyasarkan 33 pingat emas untuk edisi kali ini yang berlangsung mulai 16 September lalu hingga 24 September ini. – PAHANGMEDIA