Foto: Pengurusan Air Pahang Berhad

KERJA PEMBAIKAN PAIP SELESAI, BEKALAN AIR 18,250 AKAUN TERJEJAS PULIH

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2022 : Bekalan air bagi 18,250 akaun yang terjejas di daerah ini telah pun pulih setelah kerja pembaikan yang dilakukan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Mahkota Golf & Country Club (MGCC).

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari hari ini memaklumkan kerja-kerja pembaikan paip air mentah yang bersaiz 1500mm di Mahkota Golf & Country Club (MGCC) telah selesai disempurnakan pada 1 pagi hari ini.

Foto: Pengurusan Air Pahang Berhad

“Sehingga kini, kawasan-kawasan yang telah mula pulih dan terima bekalan air adalah seperti berikut, iaitu sebahagian Jalan Bukit Setongkol, seluruh kawasan Jalan Haji Junid, Jalan Darat Makbar, Jalan Kampung Jawa, Jalan Wong Ah Jang, Taman Zurina, Sri Teruntum , Jalan Mat Kilau dan HTAA.

“Seluruh kawasan Jalan Penjara, Pejabat MBK, Kemunting, Giant, LKIM, JKR Elektrik, Jalan Besar, Jalan Mahkota, Kompleks Teruntum, Kuantan Parade, Jalan Haji Abd Aziz, Jalan Merdeka.

“Seluruh kawasan Jalan Bank, Masjid Negeri, Wisma Persekutuan, Ibu Pejabat Polis Kuantan, Wisma TNB, Jalan Gambut, Megamall, KCM, ECM, Jalan Tun Ismail, Lorong Jalan Hj. Ahmad 1 hingga 8, UTC, Pasar Besar, Jalan Lim Hoe Lek, serta seluruh kawasan Lorong Sri Kuantan 1 hingga 6, sebahagian Jalan Teluk Sisek, AC Marriot Hotel dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Foto: Pengurusan Air Pahang Berhad

Menurut kenyataan tersebut, kerja pembaikan ini telah berjaya diselesaikan lebih awal dan dari tempoh 48 jam yang dijangkakan pihak PAIP sebelum ini.

“Kerja-kerja penyambungan paip pintasan (bypass) sepanjang 130 meter telah berjaya disambung ke jajaran paip sedia ada dengan sempurna sepertimana dirancang.

“Cabaran ini adalah besar kepada warga PAIP dan alhamdulillah telah dapat dilaksanakan dengan sempurna tanggungjawab tersebut. Kerja-kerja pembaikan ini telah berjaya diselesaikan jauh lebih awal dan kurang dari tempoh 48 jam seperti jangkaan asal,” katanya.

Menurutnya lagi, pam air mentah di Rumah Pam Kobat telah dapat dihidupkan dan kembali beroperasi setelah kerja pembaikan ini selesai

“Sehingga jam 5.00 pagi, operasi pam dapat dijalankan untuk dihantar kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk diproses sebagai air yang terawat.

“Tangki-tangki imbangan dan tangki simpanan dalam proses dipenuhkan untuk membina tekanan dan aliran yang baik. Sehubungan dengan itu, pengguna dijangka akan kembali mendapat bekalan air secara berperingkat.

“Pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air,” katanya.

Menurutnya lagi, bekalan air alternatif seperti lori tangki dan tangki statik masih akan diteruskan di kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Foto: Pengurusan Air Pahang Berhad

“PAIP komited dalam memastikan perkhidmatan air kepada pengguna. PAIP juga ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kerja-kerja pembaikan ini serta kerja-kerja penyediaan bekalan alternatif ketika gangguan bekalan air.

“Penghargaan khusus diberikan kepada semua syarikat operator air negeri-negeri lain, Majlis Bandaraya Kuantan, Alam Flora dan BOMBA yang telah membantu memberikan perkhidmatan lori tangki bagi tujuan bekalan alternatif ketika ganguan bekalan air. Segala jasa, bantuan dan pengorbanan semua pihak amat dihargai.

“PAIP juga dengan rendah diri dan berbesar hati ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para pengguna atas kerjasama, kesabaran dan sokongan kepada pihak PAIP ketika menghadapi gangguan bekalan air ini,” katanya.

Bagi pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram