KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER 2022 : Latihan setiap pagi dan petang membuahkan hasil lumayan buat atlet menembak, Azrul Akmal Zulkefli apabila berjaya menyumbang dua lagi emas buat Pahang pada pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Lapang Sasar Menembak Subang hari ini.
Azrul Akmal berjaya meraih emas menerusi acara 25 meter(m) Pistol Lelaki Individu dan 25m Pistol Lelaki Berpasukan (gandingan bersama Muhammad Adib Abu Hassan Ashairi dan Putera Muhammad Akram Idham Zunaidi).
Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata, beliau telah melakukan persediaan yang rapi untuk menyertai kejohanan ini termasuk membuat latihan setiap pagi dan petang.

“Memang saya ingin mendapatkan pingat emas dalam kejohanan kali ini jadi saya berusaha bersungguh-sungguh selain menjaga makan dan minum.
“Saya juga membuat latihan setiap pagi dan petang serta menjaga rehat yang cukup supaya saya dapat fokus pada hari pertandingan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.
Katanya lagi, beliau sebelum ini juga pernah menyertai SUKMA di Perak dan hanya mendapat pingat perak sahaja.
“Jadi saya berusaha bersunguh-sungguh pada kejohanan kali ini dan Alhamdulillah saya berjaya menyumbang emas buat negeri Pahang,” katanya.
Semalam, Azrul Akmal turut menyumbang pingat emas menerusi gandingan bersama Putera Muhammad Akram Idham dan Muhammad Adib menerusi acara 25m Standard Pistol Berpasukan.
Selain itu, beliau turut menyumbangkan pingat perak menerusi acara 25m Standard Pistol Individu – PAHANGMEDIA