Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 SEPTEMBER 2022: Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) tidak pernah melantik mana-mana pihak atau agensi mahupun syarikat untuk permohonan pembelian Rumah Pahang.
Ini berikutan tular satu memo kononnya Pengurusan Rancangan telah diamanahkan oleh pihak pemaju perumahan Jengka 11 untuk mengedarkan borang pembelian rumah generasi FELDA Jengka 11.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda, Kerajaan Pahang menjenamakan semula Projek Perumahan Generasi Kedua FELDA (PGBF) yang terbengkalai kepada Rumah Pahang setelah bersetuju mengambil alih projek berkenaan daripada pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah bersetuju mengambil alih 10 tapak projek PGBF yang terbengkalai daripada pihak pengurusan FELDA untuk dibangunkan semula termasuk di Jengka 11.
“Pelaksanaan projek adalah melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) secara usahasama bersama pemaju iaitu Syarikat KMDI Holding Sdn. Bhd. bermula Ogos 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2023.
“Kerajaan Negeri juga bersetuju menjenamakan semula projek ini kepada skim perumahan di bawah Kerajaan Negeri dengan nama Rumah Pahang.
“Pemilihan pembeli-pembeli Rumah Pahang yang layak adalah diuruskan oleh LPHP melalui sistem ePerumahan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, kerja-kerja penyediaan plan pra-hitungan dan permohonan hakmilik tanah sedang dilaksanakan bagi tujuan mendapatkan lesen jualan rumah oleh pihak syarikat buat masa kini.
“Penyelenggaran sistem ePerumahan juga sedang dilaksanakan bagi membolehkan permohonan dibuat terus kepada LPHP.
“Satu Jawatankuasa Khas Pemilihan Pembeli juga telah ditubuhkan bagi meneliti kelayakan permohonan seterusnya diangkat ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dimuktamadkan,” katanya.
“Pemohon yang berminat boleh mula membuat permohonan melalui pautan https://eperumahan.pahang.gov.my sebaik sahaja projek ini dilancarkan.-PAHANGMEDIA