Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato' Abd Rahim Muda pada Majlis perasmian Pasar Tani Lestari dan Pintar di tapak Pasar tani perkarangan Pusat Transformasi Kuantan (UTC) di Kuantan semalam.

SKIM I-PUSH BANTU PENIAGA KECIL

Oleh: Mahathir Ali

KUANTAN, 19 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang melaksanakan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) untuk membantu peniaga kecil bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan dengan baik ketika keadaan inflasi yang melanda hari ini.

Perkara tersebut telah dijelaskan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda pada Majlis perasmian Pasar Tani Lestari dan Pintar di tapak Pasar tani perkarangan Pusat Transformasi Kuantan (UTC) di sini, semalam.

Katanya, Skim I-PUSH ini adalah inisiatif Kerajaan Pahang yang telah diumumkan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dalam Belanjawan Negeri Pahang 2022, Disember lalu dengan peruntukan sejumlah RM20 juta.

“Skim I-PUSH pada asalnya dilaksanakan Kerajaan Negeri bertujuan membantu lebih 2,500 penerima (usahawan mikro) yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

“Bagi mengurangkan beban pemohon, pembayaran balik pembiayaan I-PUSH dilakukan dengan faedah yang minimal dan pinjaman maksimum sehingga RM10,000. Tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.

“Skim I-PUSH kali ini lebih menyasarkan golongan yang baharu memulakan perniagaan, memerlukan modal awal terutama golongan belia dan anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian dan mula berjinak-jinak dalam budang perniagaan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, Kerajaan Pahang turut berhasrat untuk meluaskan konsep Pasar Tani Lestari dan Pintar yang menggunakan bayaran tanpa tunai bagi seluruh 23 pasar tani di negeri ini bermula tahun hadapan yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kerajaan negeri menggalakkan pasar tani konsep lestari dan pintar di seluruh Pahang dimana setakat ini Pasar Tani di Pusat Transformasi Kuantan (UTC) adalah pasar tani pertama menggunakan konsep ini dimana hampir 40 peratus peniaga melaksanakan konsep ini.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan YAB Menteri Besar Pahang dan semua barisan EXCO dalam mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 Oktober nanti termasuklah berkenaan cara-cara perlaksanaan konsep tanpa tunai ke semua pasar tani,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negeri, YH. Dato’ Seri Abdul Hamid Nazahar, dan Pengarah FAMA Pahang, En. Saiful Sadri. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram