Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
ROMPIN, 16 SEPTEMBER 2022 : Pengetahuan tentang sejarah pembentukan Malaysia amat perlu disemai dan dihayati sepenuh jiwa dan raga, supaya anasir buruk yang bertujuan melaga-lagakan masyarakat tidak merebak.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerana inilah juga Kerajaan Negeri amat memandang penting pendidikan anak bangsa dan kempen-kempen kesedaran sejarah dijalankan seiring sepanjang masa.

“Hari ini, Hari Malaysia dan kita sambut di Rompin. Kita buat di semua daerah secara bergilir-gilir secara langsung dan tidak langsung supaya rakyat dapat merasakan bahawa kewujudan Hari Malaysia ini tidak terjadi begitu sahaja, ada sebab dan akibat bagaimana negara Malaysia terbentuk.
“Kita kena akui negara kita ini mempunyai masyarakat majmuk, terdiri daripada pelbagai kaum dan kita kena hidup secara harmoni dan bertanggungjawab untuk terapkan perpaduan sesama kita dan kita sama-sama membangunkan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari serta barisan Exco Negeri Pahang, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Encik Arifin Awang dan Pengarah Penerangan Negeri Pahang, Haji Sabarudin Yeop Hamza.
Pada majlis sama, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pintu gerbang dan arca desa bagi Taman Daerah Rompin serta Daerah Kecil Muadzam Shah.
Beliau turut menyerahkan Borang 5A bagi kelulusan pemberimilikan di Daerah Rompin kepada 105 penerima.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata kestabilan politik dan ekonomi di negeri ini adalah di antara faktor yang membolehkan rakyat melalui kehidupan yang sejahtera.

“Bukan kebetulan apabila rakyat Pahang pada hari ini memiliki sebuah kerajaan yang cekap. Alhamdulillah, dengan peningkatan hasil ini, Kerajaan Negeri berupaya untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kepada rakyat meliputi segenap lapisan masyarakat.
“Menerusi Bantuan Prihatin Pahang pada tahun ini, seramai 300,000 orang penerima telah berjaya dibantu dengan peruntukan RM30 juta meliputi pelbagai kelompok masyarakat.
“InsyaAllah, sekiranya sasaran kutipan hasil Kerajaan Negeri RM1 bilion pada tahun ini tercapai, lebih banyak lagi inisiatif, bantuan dan pembangunan dapat kita salurkan kembali kepada rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA