YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penghargaan Jasamu Dikenang sempena Majlis Tautan Budi dan Kasih Majlis Kebudayaan Negeri Pahang (Baharu) di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan.

KERAJAAN PAHANG SUMBANG RM600,000 KEPADA MAJLIS KEBUDAYAAN NEGERI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 15 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang menyumbang sebanyak RM600,000 kepada Majlis Kebudayaan Negeri Pahang bagi menjalankan pengoperasian dan urusan berkaitan majlis berkenaan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan berterusan yang dapat diberikan oleh pihak kerajaan adalah hasil daripada usaha dalam meningkatkan kutipan hasil negeri sejak beberapa tahun lalu.

Justeru katanya, pihak kerajaan sangat optimis mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion pada tahun ini memandangkan hasil kutipan terkini telah pun mencecah RM951 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penghargaan Jasamu Dikenang sempena Majlis Tautan Budi dan Kasih Majlis Kebudayaan Negeri Pahang (Baharu) di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan.

“Sehingga hari ini saya dimaklumkan oleh YB Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar bahawa kutipan hasil terkini Kerajaan Negeri sudah pun mencecah RM951 juta.

“Sudah tentulah lebihan daripada hasil kutipan tersebut akan disalurkan kepada keperluan rakyat dalam pelbagai bentuk dan Kerajaan Negeri juga berhasrat bantuan ini akan dapat dinikmati oleh semua rakyat dan kerajaan tidak mahu ada yang tertinggal atau tercicir daripada mendapat bantuan oleh Kerajaan Pahang,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penghargaan Jasamu Dikenang sempena Majlis Tautan Budi dan Kasih Majlis Kebudayaan Negeri Pahang (Baharu) di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan.

Hadir sama ialah Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang merangkap Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsudin dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin.

Pada majlis sama turut disampaikan anugerah dan penghargaan kepada beberapa penerima dan tokoh terpilih yang berjasa terhadap pembangunan kebudayaan di Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram