YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mendengar taklimat Agenda Pembentangan Berkaitan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Wisma Sri Pahang di Kuantan.

KERAJAAN PAHANG SETUJU TUBUH MAJLIS STATISTIK DATA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang bersetuju menubuhkan Majlis Statistik Data Negeri Pahang bagi menilai dan mengumpul data-data statistik di seluruh Pahang.

Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penubuhan Majlis Statistik Data itu bertujuan mengklasifikasikan mengikut kawasan Dewan Negeri dan parlimen di seluruh Pahang.

“Kita mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Majlis Statistik Data Negeri yang telah pun dipersetujui oleh mesyuarat hari ini yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta akan ada juga statistik data daerah.

“Berdasarkan perbincangan ini kita juga menerangkan apakah potensi-potensi yang ada Pahang dan data menunjukkan bahawa antara sektor yang berpotensi di Pahang adalah berkaitan dengan sektor pertanian dan sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Agenda Pembentangan Berkaitan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Wisma Sri Pahang di Kuantan, semalam.

Taklimat tersebut dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Pegawai-pegawai Daerah, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Daerah, Ketua-ketua Jabatan dan Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) yang turut mengikuti taklimat menerusi atas talian.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir berkata, taklimat yang diadakan turut mendapat kerjasama dan maklum balas yang baik daripada semua pihak yang terlibat berkaitan pertumbuhan KDNK dan juga statistik ekonomi yang lain termasuklah pasaran buruh.

Perkongsian data mengikut kawasan Dewan Negeri dan Parlimen ini juga dapat membolehkan ahli-ahli parlimen, Ahli-ahli Dewan Negeri dan rakyat dapat melihat senario di kawasan mereka. PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram