Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2022 : Sesi Townhall Bajet Anak Muda 2023 yang dianjurkan menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri Pahang turut mengambil kira pandangan dan hasrat golongan berkenaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program julung kali yang diadakan itu nyata berjaya menarik ramai anak muda untuk sama-sama berkongsi idea.

“Sebenarnya saya rasa gembira lihat kehadiran di luar jangkaan dan yang lebih menggembirakan saya, mereka bukan sahaja hadir seramai lebih seribu orang tetapi turut mengambil bahagian sehingga terpaksa dihadkan ekoran kekangan masa.
“Ada idea yang saya tidak terfikir pun, idea yang sangat baik, sangat bernas.
InsyaAllah Kerajaan Negeri akan ambil perhatian dan bentangkan pada persidangan bajet pada 7 Oktober nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada sesi Townhall Bajet Anak Muda 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini.
Hadir sama YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, barisan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi di negeri Pahang.
Seramai 21 orang belia berpeluang mengutarakan idea serta pandangan berkenaan hasrat dan keinginan masing-masing agar tercatat dalam Bajet Anak Muda Pahang 2023 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan.
Townhall yang berlangsung selama lebih dua jam itu dikendalikan oleh moderator, Encik Mohd Farid Mohd Nor.
Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menghargai semangat dan inspirasi yang ditunjukkan oleh golongan muda dalam menyampaikan pandangan mereka.

“Banyak perkara yang kita kena tengok, apa pun kita cuba buat secara adil dan saksama agar semua pihak dapat merasa sebab bantuan lebih kepada bersasar. Ada idea yang diutarakan sememangnya sudah disenaraikan seperti (bantuan) rumah memang ada dalam pemikiran kita.
“Ini (townhall) sangat membantu kerana kita tidak mahu buat pembentangan (bajet) mengikut citarasa kita, jadi sekarang ini kita dapat maklum balas dari anak muda sendiri, mereka sendiri yang bagi pandangan dan kita akan pertimbangkan setiap pandangan mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA