Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali
KUANTAN, 9 SEPTEMBER 2022 : Sambutan yang baik oleh 186 peserta acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) pada tahun pertama penganjurannya memberikan galakan kepada Tourism Pahang untuk meneliti dan mengkaji beberapa lokasi menarik penganjuran acara kayak itu pada tahun hadapan.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang telah mengambil langkah yang berani dalam menganjurkan acara sukan kanu terbesar di Asia Tenggara ini dan pihak Tourism Pahang berhasrat memperkembangkan acara ini ke beberapa lokasi menarik di Pahang seperti sungai dan tasik yang merupakan daya tarikan pelancongan di negeri ini.

“Tahun ini merupakan tahun percubaan kita, Kerajaan Negeri membuat langkah berani untuk menganjurkan acara ini dan Insyaa Allah kita akan memperkembangkan lagi program ini mungkin ke sungai atau tasik dsb tetapi ini akan ada post motem dan kita akan melihat pandangan-pandangan terutamanya kepada paddles dan atlet-atlet yang turut serta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) pada hari kedua di Pantai Balok, Kuantan, tengahari tadi.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), YH. Dato’ Haji Idros Yahya dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Puan Zuraini Ghani.
Tambahnya, Pahang sentiasa menawarkan pelbagai aktiviti pelancongan yang menarik dan mempunyai beberapa segmen acara yang dapat menarik minat pengunjung dan pelancong ke negeri ini antaranya adalah memerhati burung di Bukit Fraser, berkayak, berbasikal, permotoran dan sebagainya.
“Kerana itulah tema kita ialah “This Is Pahang Unlimited” di mana kita mempunyai segala-galanya, apa yang ada di negeri lain, ada di Pahang, tetapi apa yang ada di negeri Pahang tidak semestinya ada di negeri-negeri lai,” katanya.
Acara POPIC 2022 akan diteruskan hari ketiga di Pantai Cherating pada esok dengan penyertaan daripada peserta-peserta dari 12 negara membabitkan 186 peserta secara keseluruhannya. – PAHANGMEDIA