KUANTAN, 9 SEPTEMBER 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan supaya bendera Negeri Pahang dikibarkan separuh tiang selama tiga hari sebagai tanda penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, bendera Negeri Pahang akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari berturut-turut bermula esok (10 September 2022).
Ratu Elizabeth II pemimpin yang paling lama berkhidmat dalam monarki Britain mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland hari ini.
Baginda yang memimpin negara itu selama 70 tahun dimasukkan ke hospital sejak semalam.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham, anggota kerabat diraja dilaporkan bergegas untuk berada di sisi Ratu Elizabeth selepas pasukan perubatan bimbang tentang keadaan kesihatan baginda.
Berita kemangkatan Ratu Britain itu dimaklumkan oleh Istana Buckingham dalam kenyataan ringkas yang turut menyatakan tempoh berkabung seluruh negara selama 10 hari.
Serentak dengan pengumuman itu, bendera di seluruh United Kingdom dan Komanwel dikibarkan separuh tiang.
Ratu Elizabeth II atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan di 17 Bruton St, London, pada 21 April 1926.
Baginda kemudiannya menjadi pewaris takhta apabila bapa saudaranya, Raja Edward turun takhta pada 11 Disember 1936 dan bapanya, George menjadi Raja ketika baginda berusia 10 tahun.
Baginda berkahwin dengan Putera Philip Mountbatten yang merupakan seorang putera dari Greece, di Westminster Abbey, London pada 20 November 1947.
Hasil perkahwinan itu, pasangan diraja ini dikurniakan empat orang anak iaitu Putera Charles, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward. Putera Philip meninggal dunia pada April 2021 pada usia 99 tahun.
Ratu Elizabeth II ditabal menjadi Ratu Britain selepas kematian ayahanda baginda, Raja George VI pada 6 Februari 1952 ketika baginda berusia 25 tahun.
Susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, putera tertua baginda iaitu Putera Charles, 73, dinobatkan sebagai Raja Charles III berkuatkuasa serta-merta.-PAHANGMEDIA