Gambar hiasan

52 PREMIS GAGAL KIBAR JALUR GEMILANG DIKOMPAUN RM26,000

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 7 SEPTEMBER 2022 : Sebanyak 52 premis perniagaan di negeri ini dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM26,000 kerana gagal mematuhi arahan mengibarkan Jalur Gemilang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata setiap premis dikenakan tindakan kompaun bernilai RM500.

“Sehingga kini, PBT telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM26,000 bagi premis yang gagal memasang Jalur Gemilang di seluruh negeri ini.

“Setiap kompaun yang dikeluarkan kepada premis yang gagal mematuhi arahan ini, mereka dikenakan RM500 setiap premis,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang semalam.

Exco Kerajaan Tempatan Pahang dan Perumahan, YB. Dato’ Abd Rahim Muda

Menurut beliau, namun demikian hanya 2.7 peratus premis daripada 1,882 premis perniagaan di negeri ini didapati masih ingkar arahan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Sehingga kini, semua PBT Pahang telah menjalankan penguatkuasaan keatas kegagalan memasang bendera premis masing-masing di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 171.

“Cuma 2.7 peratus sahaja yang tidak patuh (arahan) dari 1,882 premis diperiksa. Majoriti masih patuh pemasangan bendera di premis masing masing,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak PBT di negeri ini telah mengeluarkan arahan mewajibkan pemasangan bendera Jalur Gemilang sehingga 16 September ini.

“PBT Pahang telah mengeluarkan arahan semua premis perniagaan dan komersial diwajibkan memasang bendera Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia mulai 16 Ogos hingga 16 September 2022.

“Bendera yang dipasang pada premis dimestikan bendera yang baik keadaannya, tidak lusuh atau koyak, dan dipasang dengan betul dan jelas,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram