Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 7 SEPTEMBER 2022 : Kewujudan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang di lihat mampu mengatasi masalah kepupusan spesies haiwan berkenaan yang semakin kritikal.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, harimau adalah haiwan ikonik kepada negara di mana ia digunakan di Jata Negara serta lambang jabatan-jabatan.
“Populasi Harimau Malaya sudah semakin pupus di mana sekarang kurang 150 ekor harimau yang tinggal. Kalau tahun 50an-60an dulu kita ada lebih 3,000 ekor harimau.
“Saya ucap terima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana beri tanah seluas 80 hektar kepada Kerajaan Persekutuan di mana kita telah bina pusat konservasi ini di atas kawasan seluas 20 hektar dengan kandang-kandang yang boleh memuatkan 32 ekor harimau dalam satu masa bagi tunjuan konservasi, rehabilitasi sebelum ia dilepaskan kepada habitat asal. Sebanyak RM42 juta telah dibelanjakan bagi penyediaan pusat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu lawatan tertutup ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), semalam.
Turut mengiringi, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Ali Anak Biju serta Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Rosli Isa.
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin serta Ketua Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), Encik Mohammad Khairi Ahmad.
Dalam pada itu, YB Datuk Seri Takiyuddin berkata, kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim yang sudi mencemar duli ke pusat berkenaan menjadi inspirasi kepada pihak Kementerian sendiri.
“Pahang merupakan negeri yang memiliki paling banyak Harimau Malaya iaitu sebanyak 39 ekor, jadi memang sesuai lah Pusat Konservasi Harimau Malaya ini berada di Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA