Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 SEPTEMBER 2022 : Seramai 35 orang menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang dengan jumlah keseluruhan RM358,895 yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Menteri Besar Pahang di sini, hari ini.
Pada majlis ringkas itu, kesemua 35 penerima telah diberikan sumbangan bagi pelbagai keperluan termasuklah rawatan perubatan, keperluan bagi pembangunan masyarakat di kawasan Dewan Negeri Sungai Lembing, penganjuran Ujian Ketahanan Fizikal Mara Lasak Peringkat Jabatan KDNKA PDRM 2022, Kejohanan Tenis Malaysia Junior Tour Siri Ke-3 di Kuantan, penyelenggaraan infrastruktur sekolah dan sebagainya.

Seorang penerima, Encik Mohd Zailani Md Dak, 44, berkata, sumbangan yang diterima adalah untuk membiayai kos rawatan perubatannya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan beliau sangat berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri.
“Pertama sekali saya ingn mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas sumbangan beliau kepada saya. Inilah buktinya Tiada Janji Tetapi Lihatlah Bukti”, katanya.
Sementara itu, seorang pengetuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak Bandar Bera, Encik Mohd Subhi Kemi berkata, sumbangan yang diterima daripada Kerajaan Pahang akan digunakan bagi menjalankan Program Motivasi dan ‘Team Building’ Guru dan Kakitangan sekolah berkenaan.
Justeru, beliau sangat bersyukur dan menghargai sumbangan piha kerajaan terhadap pembangunan pendidikan di Pahang umumnya dan sekolah khasnya.
“Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri kerana memberi sumbangan untuk kami menjalankan program ‘team building’ di sekolah kami SMK Mengkarak”, katanya.

Pihak Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan bagi pembangunan sukan di negeri ini yang disampaikan untuk Kejohanan Fiesta Bola Sepak Piala YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kategori bawah 12 tahun Cameron Highlands 2022.
Menurut Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak Remaja Negeri Pahang (NFDP), Encik Mohd Juzaili Sameon berkata, program tersebut telah pun berjaya dilaksanakan dengan baik dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang prihatin dan cakna terhadap pembangunan sukan di Pahang.
“Terlebih dahulu saya hendak mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy kerana sudi memberi sumbangan bagi menjayakan Kejohanan Fiesta Bola Sepak Cameron Highlands bawah 12 tahun dan Alhamdulillah kejohanan berjalan dengan lancar dan jayanya. Terima kasih juga atas sumbangan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pihak YAB Menteri Besar”, katanya. – PAHANGMEDIA