Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 30 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang melancarkan Peraduan Cetusan Idea Peningkatan Hasil dan Penjanaan Hasil Baharu Negeri Pahang Darul Makmur 2022 kepada penjawat awam negeri ini.
Peraduan yang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ini bertujuan mengumpul idea-idea bernas daripada semua penjawat awam di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang.

Idea yang dikumpul daripada semua penjawat awam yang melibatkan semua peringkat gred jawatan serta jabatan ini akan digunapakai bagi meningkatkan dan menjana hasil baharu di Negeri Pahang.
Bagi idea yang terpilih dalam peraduan yang akan berakhir pada 5 September ini, para peserta akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Turut hadir mengiringi YAB Menteri Besar Pahang dalam pelancaran gimik peraduan, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Fadzilla Haji Salleh.
Hadir sama, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin;YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang juga mengambil kesempatan beramah mesra bersama ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai daerah yang turut menyertai sesi pelancaran hari ini secara atas talian di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang. -PAHANGMEDIA