Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 30 OGOS 2022: Seramai 18 penerima di dalam kawasan Dewan Negeri (DN) Bebar menerima sumbangan cek Kerajaan Negeri berjumlah hampir RM44,000 termasuk untuk baik pulih rumah, bantuan pesakit, bantuan pendidikan anak dan bantuan peralatan menangkap ikan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau turut menyampaikan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang kepada 30 penerima lagi yang layak di Bebar.
“Alhamdulillah, Kerajaan Pahang tidak putus-putus membela nasib rakyat. Begitu banyak sumbangan, bantuan disediakan Kerajaan Pahang malah ianya juga segera diluluskan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail demi memastikan rakyat Pahang mendapat pembelaan yang sebaik-baiknya.
“Kesemua ini mampu diberikan kerana Kerajaan kita di Pahang hari ini mempunyai kedudukan kewangan yang amat kukuh berpunca pentadbiran yang cekap ditambah kestabilan politik yang amat baik sekali,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) FAMA di Dewan Nenasi, Bebar.

Beliau berkata, Program Jualan Terus Dari Ladang JTDL kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan FAMA mampu menjimatkan perbelanjaan rakyat berikutan harganya antara lima dan 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
“JTDL bertujuan memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan yang segar dan bermutu tinggi pada harga berpatutan.
“Pelbagai hasil pertanian, ikan, buah-buahan, ayam, daging, penternakan malah produk Industri Kecil & Sederhana (IKS) tempatan juga dijual peniaga yang rata-rata dari Daerah Pekan dengan tawaran harga yang amat berpatutan,” katanya. – PAHANGMEDIA