Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 OGOS 2022 : Barisan Nasional (BN) Pahang meminta pihak tertinggi BN Malaysia agar dapat mengkaji semula sistem kuota di peringkat Parlimen dan Dewan Negeri (DN).
Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia perlu dikaji semula sekiranya kita mahu menyusun strategi untuk mendapatkan kemenangan merebut kerusi di Parlimen mahu pun Dewan Negeri.

“Kalau sudah tahu kawasan tersebut iaitu Parlimen atau Dewan Negeri memang tentu kalah, mengapa kita hendak amalkan kuota lagi.
“Saya sudah bagitahu, kalau hendak menang di Pahang, sistem kuota kena dikaji semula,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perjumpaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Malaysia, YB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan bersama Kepimpinan Parti Komponen Barisan Nasional Negeri Pahang di Dewan Dato’ Sri Haji Abdul Manan Ismail, Jalan Kuantan Bypass, Kuantan.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung BN Malaysia, YB. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Presiden MCA Malaysia, YB. Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon; Naib Presiden UMNO Malaysia, YBhg Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin; Naib Presiden MIC Malaysia, YBhg. Datuk M. Asojan; Ketua Wanita BN Malaysia, YB. Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad, barisan tertinggi BN Malaysia dan BN Pahang.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, meskipun sistem kuota perlu dikaji semula, namun BN tidak akan mengabaikan mana-mana kaum apabila berlaku kekurangan kerusi dalam Parlimen atau Dewan Negeri dan usaha ini penting bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-15 nanti.
Sementara itu, YB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad berkata, majlis perjumpaan ini diadakan bagi melihat tahap kesiapsiagaan negeri-negeri di kawasan Parlimen dan Dewan Negeri untuk memastikan agar persediaan telah dibuat kerana jangka masa untuk PRU-15 adalah dijangka sebelum Disember 2022.
“Tahap kesiapsiagaan di negeri-negeri di kawasan Parlimen dan Dewan Negeri masing-masing untuk kita memastikan agar kesiapsiagaan itu benar-benar telah dapat dibuat dan persiapan tersebut di peringkat bersiapsiaga ini kerana jangka masa tempoh untuk mengadakan pilihan raya tu rasanya tidak lama lagi dan Alhamdulillah setakat hari ini saya sudah pergi 12 negeri, Pahang adalah negeri terakhir di Semenanjung dan saya akan ke Sabah pada minggu depan.
“Saya berpuas hati dengan semangat ‘winning mentality’ di setiap negeri yang amat tinggi. Masing-masing amat bersemangat untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya. – PAHANGMEDIA