Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 29 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail serius dan berusaha membantu penduduk di negeri ini termasuk di kawasan pedalaman.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, ini bukan termasuk di kawasan Pekan malah banyak lagi seperti di Cameron Highlands, Rompin, Jerantut, Raub, Maran dan sebagainya terus diberi perhatian dengan pelbagai bentuk pembangunan yang dilaksanakan.
“Inilah bukti Kerajaan Negeri Pahang melakukan yg terbaik membantu dan memerdekakan kehidupan masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini,” katanya ketika berucap pada Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik dan Sambutan Hari Kemerdekaan bersama masyarakat Kampung (OA) Simpai di SK Simpai, Pekan anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.
Menurut beliau lagi, usaha Kerajaan Negeri Pahang merdekakan kampung Orang Asli negeri ini dari terus berdepan masalah infrastruktur.
“Dahulunya jika hendak ke kampung Simpai ini kita perlu melalui jalan tanah merah yang berdebu dan mengambil masa dalam 40 minit untuk sampai ke sini dari simpang luar (jalan utama). Namun hari ini jalan raya dua hala yang lebar dan bertar telah siap dibina sejak tahun lalu dan perjalanan kini hanya sekitar 10 minit.

“Begitu juga masalah air disini. Sekian lama orang kampung Simpai hadapi masalah bekalan air tetapi hari ini mereka dapat menikmati air bersih dengan lancar sama seperti penduduk di bandar-bandar. Ini juga satu lagi usaha Kerajaan Pahang melalui PAIP demi kesejahteraan rakyat.
“Internet juga diambil berat Kerajaan Pahang hari ini. Melalui pelan JENDELA satu menara baharu akan dibina disini yg dijangka siap tahun 2023 ini,” katanya. – PAHANGMEDIA