Oleh : Fansurina Abdullah
TIOMAN, 29 OGOS 2022 : Tourism Pahang memperkenalkan produk pelancongan baharu di Pulau Tioman iaitu aktiviti pendakian ke Gunung Nenek Semukut di Kampung Mukut yang mempunyai keunikan dan cabaran tersendiri di sepanjang trail pendakian.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim berkata, Kampung Mukut mempunyai keistimewaan dengan berlatarbelakangkan Gunung Nenek Semukut dengan ketinggian 703 meter dari aras laut yang menjadikan suasana lebih cantik dan menarik kepada pelancong.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di kampung tersebut antaranya aktiviti pendakian, ‘jungle trekking’ dan ‘rock climbing’ selain daripada aktiviti laut yang sememangnya popular di Pulau Tioman.

“Jadi kampung ini ada keistimewaannya apabila ‘twin peak’ Gunung Nenek Semukut terdapat di Kampung Mukut, jadi bagi mereka yang meminati aktiviti-aktiviti pendakian, kampung ini sangat sesuailah.
“Walau bagaimanapun kampung ini juga ada kemudahan aktiviti untuk ‘scuba diving’, ‘snorkelling’ dan berkayak yang disediakan kepada pelancong yang gemar meneroka alam semulajadi di darat dan laut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hiking In Tioman (HIT) 2022 yang melibatkan seramai 60 wakil kumpulan pendaki di seluruh Malaysia bagi menjalankan aktiviti pendakian ke Gunung Nenek Semukut dan Program Kesukarelawanan memasang tali keselamatan dan penanda arah laluan pendakian gunung, air terjun dan trail larian hutan.
Hadir sama ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, Ketua Balai, Balai Bomba Dan Penyelamat Tekek, Encik Jaffar Abdul Hamid dan wakil Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Puan Nazratul Azra Tukirin.
Program anjuran Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) ini turut mendapat kerjasama daripada Kelab Kaki Camping Hiking And Travel (KCHAT) dan Agensi Pelancongan Al Muneer Travel And Tours bertujuan memberi nilai tambah kepada peserta pendaki dalam mengekalkan stamina selain dapat membantu pihak berwajib mengurangkan risiko sesat dan kemalangan di hutan serta dapat meningkatkan keselesaan kepada pengguna laluan pendakian.
Sementara itu, Pemangku Presiden KCHAT, Puan Nor Khalilah Gusti Hassan berkata, program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada pihak-pihak yang terlibat dalam usaha memupuk semangat mencintai alam semulajadi khususnya melibatkan aktiviti pendakian gunung dan hutan.
Selain Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut mempunyai dua lagi gunung iaitu Gunung Seperuk dan Gunung Sipuchong yang disatukan menjadi banjaran pergunungan pertama kategori pulau pelancongan di negara ini.
Kampung Mukut juga memiliki Air Terjun Kampung Asah, Sungai Kolam Temu Jodoh dan Kolam Puteri yang mempunyai keunikan dan keindahan tersendiri. – PAHANGMEDIA