Oleh : Ain Nadhirah Basha
ROMPIN, 28 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang akan memberikan saringan Kanser Serviks (HPV DNA) secara percuma kepada golongan wanita di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata saringan ini akan diberikan bersama Program Cakna Suri (Mamogram) yang telah dijalankan.
“Kelantan dan Pahang merupakan dua negeri yang mempunyai kadar pengambilan saringan mamogram yang terendah iaitu masing-masing 7 peratus dan 11 peratus.
“Menyedari bahawa kanser payudara adalah pembunuh utama bagi kaum wanita di seluruh dunia, maka Kerajaan Negeri Pahang pada 2021 telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta untuk Program Cakna Suri (Mamogram).
“Dan Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk meneruskan program ini, tetapi selain daripada pemeriksaan mamogram percuma, saringan Kanser Serviks (HPV DNA) juga akan diberikan secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Dan Bapa Tahun 2022 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hasan Arifin.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; ADN Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad; ADN Muadzam Shah, YB. Ir. Razali Kasim; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; dan Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek.
Beliau berkata program saringan ini memberi faedah kepada 6,000 orang wanita dari golongan B40 dan M40 di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM1.9 juta.
“Justeru kaum ibu amat-amat digalakkan untuk membuat saringan dan pemeriksaan tersebut di mana-mana Klinik Nursejahtera LPPKN di Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA