Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin ketika melakukan gimik Pelancaran Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) di Hotel Zenith

PAHANG LANCAR DASAR DAN PELAN TINDAKAN WANITA PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 27 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang yang ditambahbaik mengikut kesesuaian wanita di negeri ini.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata dasar ini digubal sebagai satu panduan kepada wanita di Pahang.

“Pelancaran dasar kita akan menjadi panduan kepada semua NGO-NGO dan dan juga semua pertubuhan-pertubuhan, di mana setiap pertubuhan akan dibekalkan dengan naskah penerbitan Dasar Wanita dan Pelan Tindakan kita ini,” katanya.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin ketika melakukan gimik Pelancaran Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) di Hotel Zenith

Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Majlis Pelancaran Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) di Hotel Zenith di sini.

Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; dan Pengerusi Jawatankuasa Penggubalan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.

Beliau dalam ucapan perasmiannya turut melahirkan harapan supaya dasar ini akan diteruskan oleh siapa pun yang memegang exco pembangunan wanita di negeri ini pada masa hadapan.

“Saya harap siapa pun yang akan menggantikan saya sebagai exco Pembangunan Wanita, sekiranya saya tidak lagi memegang jawatan ini, akan dapat meneruskan Dasar Dan Pelan Tindakan Wanita Pahang ini seperti mana yang telah kita rancangkan,” katanya.

Sementara itu, menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur, DPTWP ini merupakan dasar wanita pertama di negeri ini yang digubal bagi memastikan wanita di negeri ini tidak ketinggalan dalam semua bidang.

“DPTWP digarap selari dengan Dasar Wanita Negara dengan pengemaskinian dan penambahbaikkan yang bersesuaian bagi wanita Pahang. Dasar dan strategi sedia ada telah dimurnikan dan diberi suntikan nafas baru sesuai dengan keadaan semasa.

“Visi DPTWP adalah sebagai pemangkin utama yang bertindak sebagai pemacu kemajuan dan kemampanan negeri Pahang. Manakala misi DPTWP pula adalah bag membangun dan memperkasa wanita Pahang dalam segala aspek kehidupan demi kelestarian, kesejahteraan dan kemakmuran negeri Pahang.

“DTPWP memfokuskan sepuluh bidang tumpuan utama iaitu pendidikan, pekerjaan, agama, kekeluargaan, warisan dan seni budaya, keusahawanan, kepimpinan, undang -undang, teknologi dan kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, DPTWP ini juga dapat menetapkan hala tuju pembangunan wanita di pelbagai peringkat merangkumi pelbagai sektor sebagai menyumbang kearah kecemerlangan ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan negeri.

“la menjadi rujukan utama dalam pembangunan polisi dan program berkaitan wanita di negeri Pahang merentasi semua jabatan dan agensi yang berkaitan.

“DPTWP menuntut kefahaman yang jitu dan padu seluruh rakyat Pahang bagi meningkatkan keterlibatan mereka khususnya golongan wanita dalam menjayakannya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram