Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai, dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)

PAHANG GUNA KAD DAN SIJIL NIKAH, CERAI, RUJUK BAHARU DENGAN ELEMEN KESELAMATAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang mula menggunakan kad dan sijil nikah, cerai dan rujuk baharu yang dilengkapi dengan elemen keselamatan bermula bulan ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata penukaran ini selaras dengan kehendak Kerajaan Negeri bagi mengelakkan berlakunya penipuan dan pemalsuan dokumen berkenaan.

“Ini merupakan inisiatif yang dijalankan JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) dan PNMB (Percetakan Nasional Malaysia Berhad) adalah bertujuan untuk mengelakkan berlakunya penipuan dan pemalsuan dokumen-dokumen penting tersebut akibat perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab.

“Bermula dengan sesi perbincangan spesifikasi sijil di awal tahun 2022, cetakan sebanyak 14 jenis sijil ini telah menelan kos cetakan sebanyak RM170,000.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Majlis Perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai, dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

“Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada sijil nikah, cerai dan rujuk adalah seperti kertas keselamatan PNMB, anti-salinan, nombor siri, dan watermark,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai, dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Turut hadir, Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Othman; Ketua Hakim Syarie Pahang, YH. Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr Zulkefli Ali.

Menurut beliau, langkah keselamatan ini juga diguna pakai pada kad perakuan nikah edisi baharu yang mula diguna pakai serentak dengan pembaharuan dokumen lain.

“Ia juga seiring dengan pembaharuan Kad Perakuan Nikah sedia ada, di mana ia berbeza dengan pendekatan terdahulu.

“Kad Perakuan Nikah edisi kali ini dilengkapi dengan ciri-ciri atau elemen keselamatan bagi mengelakkan berlakunya pemalsuan kad nikah pada masa akan datang.

“Kad Perakuan Nikah yang baharu mempunyai rekabentuk relief design, menggunakan huruf mikro, mempunyai rekabentuk Rosette, cetakan dakwat Ultra-Ungu, dan mempunyai rekabentuk Guilloche,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini 14 sijil yang telah dicetak adalah sijil pra-perkahwinan, akuan catatan nikah, surat perakuan nikah, salinan surat perakuan nikah, surat perakuan nikah luar negeri, salinan surat perakuan nikah luar negeri, surat perakuan nikah sukarela, salinan surat perakuan nikah sukarela, surat perakuan penceraian, salinan surat perakuan penceraian, surat perakuan rujuk, salian surat perakuan rujuk, surat kebenaran berkahwin dalam negeri, dan surat kebenaran berkahwin luar negeri.

Pada majlis ini, seramai lebih 1,000 peserta daripada golongan belia menyertai kursus pra perkahwinan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) Negeri Pahang yang berlangsung selama sehari. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram