Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
MARAN, 26 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang telah memulakan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) pertama bernilai RM500,000 di sini bagi menempatkan mangsa banjir di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan Pusat Pemindahan Kekal di Kampung Luit ini adalah bagi keselesaan mangsa-mangsa terlibat banjir.
“Bila berlaku banjir kita pindahkan mereka (mangsa banjir) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum ini yang mana agak tidak begitu selesa.
“Jadi Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan untuk buat Pusat Pemindahan Kekal (PPK) yang lebih selesa. Maknanya bila mereka dipindahkan di sini, ada tanda lelaki perempuan, ada tempat solat, tempat makan pun ada, katil lebih selesa dari kubikel yang disediakan.
“Di Pahang ini Kerajaan Negeri telah luluskan tiga pusat seumpama ini iaitu di daerah Pekan dan juga Lipis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas pecah tanah bagi simbolik perasmian pada Majlis Perasmian Pusat Pemindahan Kekal Kampung Luit, Maran di Kampung Luit.
Turut hadir, Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Maran, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Abd. Muttalib; dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Hadir sama, ADN Luit, YB. Encik Mohd Sofian Abd. Jalil; dan Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Sharuddin Jali.
Beliau berkata pembinaan PPK di negeri ini merupakan langkah berperingkat yang diambil Kerajaan Pahang dalam mengatasi masalah banjir yang sering melanda.
“Di Pahang ini, banjir ini adalah satu perkara yang boleh kita katakan berlaku setiap tahun, kadang-kadang sampai dua kali (dalam setahun) berlaku.
“Jadi kita kena atasi masalah ini, secara berperingkat jadi Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM47 juta yang kita fikirkan boleh meminimakan masalah banjir atau yang boleh membantu menyelamatkan mangsa banjir.
Tambah beliau lagi, kesemua keputusan yang diambil oleh Kerajaan Pahang ini adalah berdasarkan maklumbalas dan perbincangan bersama Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) setiap daerah.
Beliau berkata Kerajaan Pahang menganggarkan projek PPK di negeri ini akan dapat disiapkan selewatnya pada pertengahan tahun hadapan.
“Bagi PPK di sini (Kampung Luit) kita jangka akan siap pada bulan November ini manakala dua lagi sesegera mungkin, bukan sampai hujung tahun hadapan.
“Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca, dalam keadaan biasa kita jangka di sini siap bulan November, kalau hujan tidak berhenti mungkin lama sedikit masa yang diambil.
Pembinaan PPK Kampung Luit ini dapat menempatkan 40 keluarga dalam satu-satu masa, selain turut menempatkan lapan tandas, dan satu stor. -PAHANGMEDIA