YAB Menteri Besar, Datuk Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama atlet pada Majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete dan pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM300,000 UNTUK 1,000 ATLET PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada 1,000 atlet di negeri ini sebagai menghargai sumbangan mereka dalam mengharumkan nama Pahang dalam bidang sukan.

YAB Menteri Besar, Datuk Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan peruntukan itu, kesemua atlet menerima bayaran one-off sebanyak RM300 bagi setiap seorang.

“Sehubungan dengan itu Kerajaan Negeri memberi peruntukan sebanyak RM300,000 kepada 1,000 atlet, RM300 seorang.

YAB Menteri Besar, Datuk Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama atlet pada Majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete dan pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

“Ini adalah untuk memberi dorongan dan semangat kepada mereka supaya lebih berdaya saing dan lebih maju pada masa akan datang dan dalam masa yang sama juga kita ada membuat akademi golf, e-sport di mana Kerajaan Negeri memberi galakan dan sokongan dan kita juga memberi sedikit sumbangan bagi memastikan mereka mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete dan pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Hadir sama ialah Presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan ​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Sebagai kesinambungan kepada penubuhan Akademi Golf dan E-Sport Pahang, satu kerjasama di antara Majlis Sukan Pahang (MSP) dengan Pusat Sukan UMP telah termerai melalui Majlis Menandatangani Certificate of Collaboration (COC) sebagai kombinasi untuk melahirkan atlet yang profesional bagi pembangunan sukan dan penggunaan fasiliti sukan.

“Ini adalah satu kaedah atau satu cara yang mempunyai value added, dengan adanya UMP mereka boleh melihat, membantu dan memberi pandangan-pandangan yang baik sebab kita tahu dari semasa ke semasa, pihak lain juga berusaha dengan cara mereka.

“Jadi kita nak kekalkan kejayaan kita, dan kita nak tambah lagi, dan kita tidak mahu mundur daripada apa yang kita dapat sekarang, sebab itulah kita engage UMP,” katanya.

Mengulas pelancaran Pahang Pride Athlete, beliau berkata, program itu diyakini bakal melahirkan atlet Pahang yang berprestasi tinggi pada masa hadapan dalam usaha menjadikan Pahang sebagai hub sukan di Pantai Timur.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kerajaan turut menyediakan sejumlah RM8.2 juta bagi membantu 1,000 atlet dan penggiat sukan anak Pahang yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram