YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Makan Malam dan Lafaz Ikrar Ahli Jawatankuasa Dewan Perdagangan Malaysia-China Peringkat Negeri Pahang 2022-2025 di The Zenith Hotel

HUBUNGAN DUA HALA PAHANG – CHINA LONJAK SEKTOR EKONOMI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2022 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia termasuk hubungan dua hala bersama Kerajaan Negara China melalui Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) yang menjadi jambatan komersial antara Malaysia dan China dengan aktiviti perdagangan dan pelaburan dua hala antara dua kerajaan.

Menurutnya, pelbagai projek yang melibatkan gandingan kedua-dua pihak antaranya kewujudan Malaysia China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang terletak di Gebeng, Kuantan merupakan ‘sister park’ China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) yang merekodkan pelaburan terkumpul sebanyak RM30.1 bilion bagi 19 projek.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Makan Malam dan Lafaz Ikrar Ahli Jawatankuasa Dewan Perdagangan Malaysia-China Peringkat Negeri Pahang 2022-2025 di The Zenith Hotel

“Selain itu projek East Coast Rail Line (ECRL) melibatkan negeri-negeri pantai Timur serta Projek Pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang.

“Pada bulan Mei lalu pula, Kerajaan Negeri Pahang telah menerima kunjungan rasmi daripada Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia sempena 10 tahun kerjasama antara MCKIP dan CMQIP.

“Saya banyak bertukar pandangan dan berbincang dengan beliau berkenaan kerjasama perniagaan yang telah dimeterai antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan China serta peluang pelaburan yang boleh diterokai di Pahang yang dapat memberi manfaat kedua-dua pihak,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Lafaz Ikrar Ahli Jawatankuasa Dewan Perdagangan Malaysia-China Peringkat Negeri Pahang 2022-2025 di The Zenith Hotel, di sini

Dalam pada itu beliau berkata, kestabilan politik dan kestabilan ekonomi yang baik di Pahang ketika ini telah menarik minat para pelabur untuk menanam modal di negeri ini di mana Pahang telah berjaya mencapai pelaburan bernilai RM18 bilion pada penghujung Julai lalu.

“Jumlah pelaburan yang masuk ke Negeri Pahang adalah RM20.568 bilion ringgit meliputi pelaburan domestik berjumlah RM9.557 bilion dan pelaburan asing pula berjumlah RM11.011 bilion.

“Saya yakin dan percaya, hubungan perniagaan yang terjalin antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan China akan terus diperkukuhkan kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan hasil dan pelaburan negeri, tetapi mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram