YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika majlis Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada penerima di Kampung Lipat Kajang di Temerloh.

RUMAH RAKYAT PAHANG TEPIS TOHMAHAN KERAJAAN NEGERI TIDAK STABIL

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 24 OGOS 2022 : Kejayaan pentadbiran Negeri Pahang yang diterajui Barisan Nasional (BN) menjadi bukti kestabilan dari pelbagai sudut telah berjaya dicapai.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan seharusnya membuka mata mana-mana pihak yang percaya pada khabar angin semata-mata.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Pemberian RRP ini yang saya rasa tiada di negeri lain kecuali di Pahang, sebuah rumah tiga bilik bernilai RM75,000. Pada tahun ini kita bagi bagi enam unit setiap Dewan Negeri (DN). InsyaAllah tahun depan lapan unit kalau sempat saya umumkan sebelum pembubaran Parlimen.

“Ini cara kita membela rakyat dan kita boleh buktikan kepada setiap tuduhan dan tohmahan yang mengatakan seolah-olah Kerajaan Negeri Pahang tidak buat apa-apa… tanah pun kita dah bagi, kita sampaikan suratan hak milik untu peserta Felcra kita kemudian kita bagi Skim Tanah Warisan (STW) serta bantuan dari sejak lahir sehinggalah meninggal dunia (akibat Covid-19),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada penerima di Kampung Lipat Kajang, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, YB Dato’ Sri Dr Haji Ismail Mohamed Said, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram serta Pegawai Daerah Temerloh, YH Dato’ Ali Syahbana.

Sementara itu, bagi penerima Encik Khairul Azman Abdullah Hasim, 54, dia amat bersyukur kerana turut menikmati limpahan hasil kestabilan dan kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Penerima Rumah Rakyat Pahang, Encik Khairul Azman Abdullah Hasim, 54.

“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri terutamanya Menteri Besar Pahang yang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat termasuk impian memiliki rumah sendiri.

“Saya hanya buat kerja kampung dengan menebas, buat pagar kebun dan beberapa lagi kerja bagi menampung kehidupan seharian. Tak tergambar dengan kata-kata betapa bersyukur dan gembira dapat rumah RRP hari ini apatah lagi Menteri Besar sendiri yang bagi, terima kasih sekali lagi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram