Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 23 OGOS 2022 : Seramai 152 peserta FELCRA Rumpun Makmur menerima Suratan Hak Milik dan Peserta Skim Tanah Rakyat (STR) Kampung Benom dan Kampung Peragap di Kerdau, Temerloh.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian suratan hak milik dan Notis 5A ini memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk memiliki tanah sendiri.

Jelasnya, Kerajaan Pahang menitikberatkan aspek kebajikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan.
Justeru, beliau mengingatkan kepada semua peserta agar dapat memanfaatkan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tidak menjual tanah berkenaan kepada pihak lain yang akhirnya merugikan anak bangsa pada masa hadapan.
“Saya ingin menyatakan bahawa usaha membangunkan tanah ini bukanlah usaha yang mudah. Semangat yang sama perlu ada kepada anda semua dalam mengusahakan tanah ini yang memerlukan perancangan serta daya usaha dan semangat juang yang tinggi untuk mengubah tanah kepada aset yang mempunyai nilai komersil yang menguntungkan semua pihak,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Peserta FELCRA Rumpun Makmur, Notis 5A Peserta Skim Tanah Rakyat (STR) Kampung Benom dan Kampung Peragap, Kerdau di Temerloh, petang tadi.
Hadir sama ialah barisan Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk bantuan termasuklah Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma kepada rakyat memerlukan dan jumlah unit RRP semakin bertambah saban tahun dan pihak kerajaan turut bercadang untuk menambah bilangan tersebut pada masa akan datang memandangkan kedudukan ekonomi Pahang yang bertambah baik. – PAHANGMEDIA