YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau di Kampung Rumpun Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

TAMBAH BILANGAN BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT DI PAHANG – YAB MB

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 23 OGOS 2022 : Kerajaan bakal menambah bilangan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh Pahang dalam usaha meningkatkan keperluan utama dan keselamatan penduduk tempatan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau, Temerloh menjadikan jumlah keseluruhan balai berkenaan di Pahang berjumlah 28 buah.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau di Kampung Rumpun Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

“Manakala terdapat sebuah balai di Sungai Lembing sedang dalam pembinaan manakala beberapa lagi sedang menunggu kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Kita di Pahang ini masih dalam pembinaan iaitu satu di Sungai Lembing dan ada beberapa tempat lagi iaitu di Gohtong Jaya (Bentong), Benta (Lipis) dan Lanchang (Temerloh) yang kini dalam proses mendapat kelulusan, tanah kita sudah kenalpasti cuma kita tunggu selanjutnya daripada EPU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau di Kampung Rumpun Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Ts Mohammad Hamdan Haji Wahid, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, YBhg. Encik Muhammad Razman Abu Samah, Pengarah JBPM Pahang, YH. Dato’ Ir Ts Haji Wan Mohamad Zaidi Wan Isa dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Jelas Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau ini merupakan hasrat dan keperluan penduduk setempat yang sebelum ini mendapatkan bantuan khidmat daripada balai bomba dan penyelamat dari lokasi sekitar seperti Temerloh dan Jerantut yang berjarak kira-kira 40 kilometer mengakibatkan kurang responsif terhadap sebarang kecemasan.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Reezal Merican berkata, selain pasukan bomba dan penyelamat sedia ada, pasukan itu turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela yang diperkasakan oleh komuniti setempat dalam memastikan kesiapsiagaan, ketersediaan perkhidmatan bomba dapat dipertingkatkan.

“Selain daripada itu yang penting ditekankan ialah kita hendak menggandakan dan memperkasakan aset-aset bomba di peringkat balai-balai bomba di mana keupayaan mereka untuk respon jauh lebih berkesan,” katanya.

Keseluruhan jumlah balai bomba dan penyelamat di seluruh negara ialah 332 buah manakala sebanyak 28 balai bomba di Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram