Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BERA, 20 OGOS 2022 : Perasmian Hospital Bera hari ini menyaksikan usaha dan keprihatinan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah terhadap kebajikan rakyat terutamanya di daerah ini telah berjaya direalisasikan.
YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, Almarhum tuanku merupakan individu yang bertangggungjawab untuk mendapatkan hospital ini selepas mendengar kesukaran yang dilalui oleh rakyatnya.

“Ketika saya menjadi Ahli Parlimen Bera, saya menghadap Almarhum, saya bagitahu ramai anak-anak Pahang ini lahir di negeri lain seperti yang duduk di sempadan seperti di gugusan Felda Tembangau, orang asli di Pos Iskandar, Kampung Pasal.. apabila nak beranak kena pergi ke (hospital) Jempol. Jika nak ke hospital Temerloh jadi jauh, kena ambil masa sampai dua jam perjalanan nak sampai.
“Jadi Almarhum bertitah akan menyelesaikan masalah tersebut kerana anak-anak yang lahir di negeri lain itu adalah rakyatnya sendiri. Dalam tempoh dua bulan Almarhum maklumkan usaha mendapatkan hospital telah pun berjaya selepas baginda menyuarakan perkara berkenaan kepada Menteri Kesihatan ketika itu. Pada tahun 2008, Almarhum berkenan rasmi pecah tanah sehinggalah beberapa rintangan telah dilalui bagi usaha pembinaan yang membawa kejayaan pada hari ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hospital Bera di sini, hari ini.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi Jawatankuasa KerjaRaya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Noor Hisham Abdullah.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Ismail Sabri berkata, kewujudan Hospital Bera yang mula beroperasi pada 1 Julai lalu seiring dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang sentiasa berusaha meningkat dan mengukuhkan perkhidmatan kesihatan
seperti menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan termasuk memperbaiki kualiti perkhidmatan di klinik kesihatan, klinik ibu dan anak serta menerusi perkhidmatan yang disampaikan di fasiliti hospital.
“Melalui pembinaan Hospital Bera ini, pelbagai program berkaitan kesihatan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih terangkum dan menyeluruh.
“Terima kasih juga kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, agensi pusat serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kerana berjaya merealisasikan pembinaan hospital yang dilengkapi dengan 40 buah katil ini.
“InsyaAllah, hospital ini akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk di Daerah Bera dan kawasan sekitarnya bagi mendapat rawatan kesihatan dengan pantas dan selesa” katanya.
Menurutnya, beliau turut dimaklumkan bahawa Hospital Bera bakal menyediakan khidmat pakar yang akan bertugas secara ‘visiting specialist’ dan disokong dengan peralatan dan teknologi yang canggih.
Bagi perancangan jangka panjang, Hospital Bera akan turut menyediakan Pusat Rawatan Rapi bagi kanak-kanak (Pediatrik) iaitu pendekatan yang holistik berkaitan penjagaan kanak-kanak di Daerah Bera dan sekitarnya. -PAHANGMEDIA