Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 OGOS 2022 : Pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) tidak hanya melibatkan kaum Melayu malah ia diperluaskan kepada penerima kaum lain yang turut menikmati limpahan hasil kestabilan dan kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Bagi Encik Lee Choon Kong, 56, dari Kampung Kelapa Benta berkata, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana prihatin kepada semua kaum.
“Saya sangat gembira dapat rumah percuma, sebelum ini saya tinggal bersama keluarga di atas tanah yang disewa dan perlu membayar sewa bulanan dengan pendapatan sebagai menoreh getah.
“Faham sajalah, kami hanya dapat menoreh ketika cuaca panas dan baik, bila musim hujan kami langsung tidak dapat mencari duit,” katanya.
Penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 3 dari Kampung Penjom, Encik Wong Lai @ Wong Foo Choong , 77 tahun, turut meluahkan kegembiraan sama.

Beliau yang sudah sedikit uzur turut menampung kehidupan seharian dengan kerja sebagai penoreh getah.
“Saya tinggal di rumah sendiri tapi sudah sangat usang dan bahaya dari segi keselamatan. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang sebab bagi rumah percuma ini,” katanya.
Masih tinggal di rumah sewa pada usia 67 tahun, Puan Kaliamal A/P Aruchunan tidak sangka akan menerima rumah sendiri dan lebih mengharukan ia diberi secara percuma.

“Saya duduk rumah sewa, kena bayar RM400 sebulan. Saya pernah tumpang rumah kawan dan sekarang hidup dengan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kadang-kadang ada orang panggil saya cuci rumah, boleh dapat duit sikit-sikit tampung makan minum setiap hari. Jadi saya saya sangat gembira Kerajaan Pahang bagi sebuah rumah kepada saya… Terima kasih Menteri Besar Pahang,” katanya.
Rasa sebak turut dirasai Encik M. Arumugam A/L Mariappan, 64, dari Kampung Damak Jerantut yang akhirnya bakal menerima sebuah rumah percuma selepas 45 tahun menyewa.

“Saya pernah alami peristiwa sedih apabila rumah yang saya huni bersama isteri dan empat orang anak terbakar pada tahun 1992.
“Jadi saya sangat bersyukur apabila dapat rumah sendiri. Terima kasih Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Haji Nazri Ngah, Pegawai Daerah dan semua yang terlibat dalam membantu saya mendapatkan rumah ini. Saya sangat gembira dan bersyukur hingga tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan lagi…terima kasih semua,” katanya. -PAHANGMEDIA