YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menandatangani plak tanda Pelancaran Rumah Rakyat Pahang 2022 di Swiss-Belhotel, hari ini.

LAPAN BUAH RUMAH SETIAP DN JIKA CAPAI RM1 BILION HASIL

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 18 OGOS 2022 : Rakyat Pahang akan menerima lebih banyak limpahan nikmat terutama dari sudut kebajikan jika hasil negeri Pahang berjaya mencapai sasaran iaitu RM1 bilion pada tahun ini.

Perkara berkenaan disuarakan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menambah jumlah Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan bagi fasa seterusnya.

“Saya sudah bagitahu kalau sekiranya hasil Kerajaan Negeri meningkat kepada RM1 bilion kita akan tambah dari enam buah rumah kepada lapan buah rumah, maknanya setiap 42 buah Dewan Negeri akan terima lapan buah rumah bernilai RM75,000.

“Rumah Rakyat Pahang ini bermula sejak tahun 2019 dengan permulaan dua buah rumah bagi setiap Dewan Negeri, kemudian kita naikkan ke empat buah rumah pada tahun lalu seterusnya enam buah rumah pada tahun ini.

“Rumah yang mempunyai tiga buah bilik dan dua buah bilik air ini pada asalnya berharga RM65,000 tapi selepas kita dapati harga barang meningkat kita naikkan nilainya kepada RM75,000 sebuah. Kerajaan Negeri juga memberi sumbangan tambahan sebanyak RM2000 berbentuk barangan keperluan asas rumah kerana kita fikir bila mereka masuk, rumah mesti ada kekurangan barang-barang,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan surat tawaran kelada seorang penerima pada Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang 2022 di Swiss-Belhotel, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang 2022 di Swiss Ballroom, Swiss-Belhotel, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, Speaker Dewan Negeri (DN) Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Ismayati Ismail serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu beliau memaklumkan sebanyak 98 buah rumah dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM6.8 juta pada permulaan program RRP, manakala pada tahun lalu Kerajaan Negeri memutuskan untuk meneruskan program melibatkan dua fasa pembinaan iaitu Fasa 1 sebanyak 102 buah rumah dan Fasa 2 sebanyak 104 buah rumah dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.47 juta.

Pada tahun ini sebanyak 269 unit rumah RRP telah dibina melibatkan enam buah rumah bagi setiap 42 DN dengan kos keseluruhan hampir RM20 juta. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram