Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 17 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir menerusi perlaksanaan Pahang Talent 2022 yang melatih seramai 12 graduan terpilih untuk menjalani latihan selama 12 bulan bagi menimba pengalaman serta pendedahan industri secara terus di bawah bimbingan barisan Exco Kerajaan Pahang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua graduan yang dipilih merupakan pelajar terbaik antara terbaik yang berpeluang mengikuti latihan secara terus bersama barisan Exco Kerajaan Pahang sekali gus membuka peluang pekerjaan bersama Kerajaan Pahang.
“Kita telah meminta Yayasan Pahang untuk menguruskan pengambilan mereka sehinggalah urusan-urusan berhubung motivasi, keadaan Negeri Pahang, hasrat Kerajaan Negeri dan sebagainya dan akhirnya selepas mempelajarinya selama sebulan kita serah kepada semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada hari ini.
“Mereka ini kita letakkan di bawah Exco untuk membantu Exco dan dalam masa yang sama kita minta juga mereka bekerja dan mengkaji apa-apa yang mungkin mereka boleh beri pandangan dari perspektif mereka dan dalam masa yang sama Exco-exco ini akan mendidik mereka, apakah yang patut mereka buat, angle mana yang mereka patut tengok dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Pegawai Pelatih Pahang Talent 2022 oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di Kuantan.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, barisan Exco Kerajaan Pahang, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, YH. Dato’ Saiful Edris Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.
Dalam pada itu, beliau berkata, program ini antara lain bertujuan menempatkan graduan anak Pahang untuk diserap berkhidmat di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri atau agensi-agensi Kerajaan Pahang.
Kesemua 12 graduan terpilih telah menjalani saringan dan pemilihan bermula April lalu membabitkan tiga fasa yang komprehensif dan holistik iaitu ujian profil psikologi dan DNA Yayasan Pahang, program penilaian simulasi dan seterusnya proses temuduga.
Sementara itu, seorang graduan, Cik Nur Aishah Najihah Ismail, 25, berkata, selepas menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Utara Malaysia (UUM) sangat teruja dan bersemangat untuk memulakan sesi latihan selama setahun bersama Exco Kerajaan Pahang.
“InsyaaAllah saya akan melakukan yang terbaik untuk memajukan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang terutama di bawah portfolio saya ditempatkan iaitu di bawah pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang.
“Saya harap saya dapat membawa imej ikon belia Negeri Pahang dan saya amat bangga membawa title tersebut untuk memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana untuk bersama-sama dalam memajukan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang khususnya,” katanya.
Kesemua mereka telah ditempatkan di bawah setiap portfolio oleh Exco Kerajaan Pahang bagi memulakan latihan di bawah Pahang Talent 2022. – PAHANGMEDIA