Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 16 OGOS 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Pelancaran Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Pekan, di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud, Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan, YH. Dato Haji Zainal Abidin Md Amin dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Dalam majlis ini, KDYMM Pemangku Raja Pahang turut berkenan menanam pokok sebelum melepaskan benih ikan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar
Sebanyak 500 batang pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Majlis Daerah Pekan dan pihak swasta telah ditanam dan 15,000 anak ikan sumbangan Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah dilepaskan hari ini
Sementara itu, YH. Dato Haji Zainal Abidin berkata, ia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan hutan kepada kesejahteraan hidup manusia, memelihara dan menjaga hutan serta alam sekitar.
“Daerah Pekan telah mensasarkan penanaman 8,000 pokok setahun dan 40,000 pokok dalam jangkamasa lima tahun. Sehingga kini Majlis Daerah Pekan, pemaju, agensi kerajaan dan swasta telah berjaya menanam sebanyak 3,000 batang pokok,” katanya.
Beliau berkata pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Pekan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan pokok dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup. – PAHANGMEDIA