YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Makan Malam Tuan Yang Terutama Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Negara-Negara Asean ke Negeri Pahang di Hotel Zenith, di Kuantan.

LAWATAN DUTA BESAR DAN PESURUHJAYA TINGGI NEGARA ASEAN BANTU PROMOSI PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 16 OGOS 2022 : Program Promosi Lawatan secara langsung oleh Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Negara-Negara Asean dilihat mampu mempromosikan Negeri Pahang ke pentas dunia.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keindahan dan keunikan negeri Pahang sentiasa mendapat perhatian daripada pelancong dari dalam dan luar negara.

“Program Promosi Lawatan ini merupakan salah satu pendekatan strategik Kerajaan Negeri dan Tourism Malaysia dalam usaha memulihkan industri pelancongan negeri dengan mengadakan promosi dalam kalangan wakil-wakil terhormat negara-negara ASEAN.

“Saya amat yakin dan percaya, sektor pelancongan sangat berpotensi dimajukan di Pahang berdasarkan kepada keindahan alam, flora dan fauna di negeri ini. Jika kita manfaatkan keunikan dan keindahan alam semula jadi ini, pasti ia mampu memberikan pulangan yang amat berbaloi kepada ekonomi Negeri.

“Justeru, Negeri Pahang perlu kembali berada di mata dunia dan salah satu cara terbaik adalah dengan mempromosikan pelancongan negeri ke negara luar dan salah satunya program lawatan promosi ini yang pastinya akan medium promosi mulut ke mulut apabila delegasi pulang ke negara masing-masing nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Tuan Yang Terutama Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Negara-Negara Asean ke Negeri Pahang di Hotel Zenith, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Haji Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Dalam pada itu beliau berkata, industri pelancongan merupakan industri ketiga terbesar yang menyumbang 15 peratus kepada GDP negara, malah pada 2019, Pahang telah dinamakan oleh Tourism Malaysia sebagai destinasi pelancongan domestik terbaik di Malaysia.

“Kedatangan pelancong ke Negeri Pahang sehingga suku tahun kedua 2022 adalah seramai 4.072 juta orang pelancong berbeza dengan tahun 2021, kedatangan untuk setahun cuma 2.210 juta orang pelancong. Sempadan Negara yang dibuka sepenuhnya untuk sektor pelancongan pada April 2022 juga telah mula meningkatkan pelancong luar negara ke Pahang.

“Kemasukan pelancongan ke Negeri Pahang dilihat terus meningkat dengan program-program promosi, penganjuran acara, program lawatan familiarisasi dan juga pendedahan promosi di sosial media yang telah dilakukan oleh Tourism Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram